Artikel

9 Tip Untuk Kekal Beribadah Selepas Kembali Dari Menunaikan Haji

oleh Huzaifah Abd Jamil pada 07 Sep 2016

Sememangnya pengalaman menunaikan haji di Baitullah tidak dapat digambarkan. Dapat melihat sendiri bangunan Kaabah, berkumpul di padang Arafah sebagai simbolik perhimpunan Mahsyar, dan melontar jamrah sebagai mengingati ujian Nabi Ibrahim menyembelih anak baginda Nabi Ismail.

Tetapi bagaimana pula kita mahu mengekalkan rentak ibadah seperti yang dilakukan di Tanah Suci Makkah? Disini ada sembilan (9) tip yang boleh kita amalkan bersama.

1. Melaksanakan Solat Dhuha Setiap Hari

Solat Duha

Kita insan yang kerdil dan lemah. Kemampuan kita untuk bangun dua pertiga malam agak terbatas. Oleh itu, solat sunat Dhuha disusun bagi menggantikan kelemahan pada malam hari.

Ia tidak sukar. Mulakan dengan datang awal ke pejabat dan terus menunaikan solat Dhuha sebelum waktu kerja bermula. Boleh juga dilakukan ketika tea-break.

2. Sentiasa Dalam Keadaan Berwuduk

Wuduk

Dua hikmah menanti apabila perkara ini dapat dilaksanakan. Pertama, ia memberi sedikit ruang untuk mencapai dan membaca Al-Quran. Kedua, ia menjemput hati supaya lembut dan tawaduk, selain melatih kita mengawal tekanan darah tinggi dan tekanan kerja.

3. Solat Jenazah dan Menziarahi Kubur

Peluang yang jarang kita dapat. Cuba fikirkan, apabila kita tidak berusaha untuk solat jenazah kepada si mati, adakah kita mampu memberi jaminan yang orang lain akan menyembahyangkan kita apabila giliran kita tiba nanti?

4. Meraikan Bakal Haji dan Berkongsi Pengalaman

Orang Pergi haji

Segera meraikan orang yang bakal menunaikan haji dan berkongsi pengalaman dengan mereka. Namun, ia bergantung pada sejauh mana pengalaman ini hendak diterima oleh bakal tetamu Allah.

5. Memelihara Solat Jemaah

Solat Berjemaah

Memelihara solat jemaah dalam keadaan yang mengizinkan. Pada waktu pejabat, usaha meringkaskan makan tengahari dan segera ke surau pejabat. Apabila tiada mesyuarat, ambillah waktu untuk berehat sebentar bagi menunaikan solat Asar berjemaah.

6. Menjadi Contoh dan Ikutan

Menjadi Contoh Teladan

Mereka yang sudah menunaikan haji sebaik-baiknya mampu menjadikan diri sebagai contoh dan ikutan. Teringat cerita P. Ramlee apabila A.R. Tompel menyebut,“Takkanlah Pak Aji nak menipu.” Kita perlu berazam untuk menjadi contoh.

7. Menambah Ilmu

Menuntut Ilmu

Cabang ilmu itu luas dan melata. Haji mengetuk hati bagi meneruskan usaha pencarian ilmu dengan menghadiri majlis ilmu di masjid atau di surau. Ini penting bagi menggilap amalan dan istiqamah disamping meningkatkan ilmu di dalam pelbagai bidang.

8. Menghidupkan Quranic Marathon

Quran

Hidupkan kembali Quranic marathon iaitu menghayati Al-Quran, dan mengamalkan sunnah. Al-Quran bukan sekadar dibaca, tetapi perlu ditambah dengan penghayatan dan mendalami maksudnya.

9. Bersedekah dan Berkorban

Jadikan amalan bersedekah sebagai aktiviti harian. Adakah sukar untuk memberi RM1 sehari kepada individu atau institusi Islam?

Buku Haji Muda

Nota editor, 9 Tip di atas disalin dari buku Haji Muda: Tip-Tip Menjadi Tetamu Allah terbitan PTS. Buku ini boleh dibeli di Jualan Gudang PTS di Batu Caves sehingga 9 September 2016 ini dengan diskaun berganda, hanya RM 9.50 sahaja atau membuat pembelian secara online di www.bookcafe.com.my

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024