Artikel

Selepas 3 Tahun Kami Ubah Doa dan Akhirnya Kami Menunaikan Haji

oleh Asri Yussof pada 06 Sep 2016

Nota Editor: Kisah ini diambil dari Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim Al-Hafiz, yang beliau tuliskan di dalam buku, Ceritera haji Wartawan Al-Quran: Tuhan Kami Datang. Kami tulis semula tanpa mengubah maksud asal dan memendekkan cerita untuk dimuatkan di sini.


Hanya 4 Hari Persediaan Menunaikan Haji

“Hello Encik Abdullah, harap Encik datang segera ke Masjid UIAM. Encik dapat pergi haji tahun ini.”

Saya tergamam seketika ketika mendapat panggilan itu daripada pengurusan Masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Hari itu, 9 Oktober 2013 sekitar jam 11.50 pagi.

Tanpa berlengah saya terus ke pejabat masjid UIAM, rupa-rupanya ada beberapa orang kakitangan yang terpilih menunaikan haji pada tahun itu menolak atas sebab peribadi, lalu nama saya digantikan.

“Jikalau Encik Abdullah setuju, Encik perlu menyerahkan dokumen yang kami minta seberapa segera. Tarikh penerbangan kumpulan jemaah haji UIAM adalah pada hari sabtu ini, iaitu 12 Oktober 2016”

Aduh, cepatnya! Sekali saya tergaman. Cuma berbaki empat hari sahaja. Terlalu banyak yang perlu diuruskan dalam tempoh itu, dan yang paling sukar adalah urusan persekolahan empat orang anak saya.

Saya menghubungi isteri dan selepas berbincang panjang, kami memutuskan bagi menolak tawaran saat akhir itu.

Buku Ceritera Haji Wartawan Al-Quran

 

Terkena Mukjizat Nabi Ibrahim A.S

Setahun kemudian, musim haji 2014 tiba, selepas makluman permohonan haji daripada UIAM dibuka, kami antara yang terawal memohon. Kali ini kami lebih bersedia untuk sebarang kemungkinan.

Walau lewat sekalipun, kami pasti menyambut jemputan Allah swt jika peristiwa yang sama berulang lagi.

Kemudian, kami dikhabarkan yang kami tidak terpilih untuk menunaikan haji pada tahun ini, kerana kedutaan Arab Saudi hanya memberikan 50 visa ihsan sahaja pada tahun ini kepada pihak UIAM.

Kami tetap berharap kejadian seperti tahun lalu berulang.

Isteri saya menghubungi pihak tabung haji bagi meminta tempat dalam kursus haji berkenaan, namun jawapan yang diterima sangat menghampakan;

“Maaf Puan, kursus haji perdana ini hanya untuk para jamaah yang sudah mendapat tempat menunaikan haji pada tahun ini.”

Beliau menangis. Buku haji sudah dihabiskan bacaannya, segala rukun dan wajib haji sudah dihadam olehnya. Isteri saya tidak berputus asa, beliau pergi mengikuti kursus haji swasta yang dianjurkan oleh majikannya.

Nampaknya , isteri saya sudah terkena mukjizat doa Nabi Ibrahim as yang memohon supaya perasaan rindu terhadap tanah suci dilimpahkan kepada umat Islam;

رَبَّنَا إِنِّي أَسْكَنْتُ مِنْ ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِنْدَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُمْ مِنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ

Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan shalat, maka jadikanlah hati sebagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezekilah mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.

 

Doa Supaya Mendapat Jemputan Istimewa Daripada Allah swt

2015 menjelma, kami tidak putus-putus berdoa semoga nama kami diangkat pada tahun ini sebagai tetamu Allah. Kami juga memohon supaya kami mampu menyempurnakan ibadah haji dengan mudah dan pulang mendapat anugerah, iaitu haji yang mabrur.

Kami ingat pesan Tuan Guru Dr. Abdul Basir dalam video kursus haji kepada bakal jemaah haji;

“Walaupun sudah mendapat tempat untuk ke Tanah Suci, jangan putus berdoa supaya kita mampu sampai ke sana. Banyakkan berdoa supaya nama kita diangkat oleh Allah swt sebagai tetamu-Nya untuk ke tanah suci Makkah tahun ini.”

Ustaz Abdullah Bukhari dan Isteri bersama Dr. Abdul Basit

Tahun ini peluang kami barangkali cerah, kami sertai kursus haji perdana anjuran Tabung Haji yang diadakan di Masjid UIAM. Namun, ketika itu kami mendapat maklumat hanya 20 visa sahaja diluluskan oleh pihak kedutaan Arab Saudi kepada UIAM.

Saya sangat terkejut. Bagaikan petir menyambar jiwa. Nama kami tersenarai di tangga yang ke 56, kami merasakan peluang pada tahun ini gelap. Mungkin nama kami akan tercicir.

 

Saya Ubah Doa Saya

Saya terus berdoa minta mendapat peluang untuk mengerjakan ibadah haji pada tahun ini;

“Ya Allah, jikalau bukan rezekiku bagi menunaikan haji pada tahun ini, mudahkan ia untuk tempoh terdekat.”

Selepas solat maghrib, saya terserempak dengan pegawai keselamatan UIAM, beliau juga seperti saya. Kami sama-sama bersedih kerana tidak terpilih menunaikan haji.

Selepas pertemuan dengan pegawai keselamatan itu, doa masih saya panjatkan, tetapi dengan sedikit perbezaan bahasa;

“Ya Allah, angkatlah nama kami berdua suami isteri dan nama kawan yang lain supaya dapat kami bersama-sama menunaikan haji dalam masa terdekat. Bantulah kami semua supaya dijemput ke sana.”

Perubahan doa itu saya lakukan oleh sebab rasa belas kasihah. Hanya orang yang pernah bersedih mampu merasai kesedihan orang lain. Rindu kami untuk ke sana membuak-buak.

Kota Makkah

10 September 2015, saya mendapat panggilan dari Tuan Haji Nik Hizman, iaitu orang yang bertanggungjawab mengurus urusan haji UIAM;

“Ustaz! Kenal ataupun tidak sesiapa yang menjalani perniagaan umrah serta Haji? Saya dapat berita biasanya mereka ada visa tambahan untuk haji dengan sedikit bayaran tambahan. Cubalah ustaz hubungi mana-mana pihak tersebut. Mungkin peluang untuk ustaz dan kawan-kawan yang lain menunaikan haji masih terbuka.”

Saya menghubungi syarikat yang menawarkan pakej haji swasta yang saya kenali dan berkongsi kisah kami di UIAM. Alhamdulillah, Beliau memberikan kami harga visa swasta yang sangat istimewa. Saya sangat terkejut dengan bantuan Allah ini.

12 September 2015, semua kakitangan UIAM yang bersetuju dengan harga tawaran pengusaha visa swasta itu mendapat surat tawaran menunaikan haji pada tahun 1436 H dari pihak Lembaga Tabung Haji.

SubahanaAllah! Kesan doa itu bagaikan halilintar menerobos dan menembus awan. Allah swt terus membuka ruang untuk kami semua mendapat peluang dijemput ke Makkah pada tahun ini. Benar kata-kata Rasulullah saw.

“Sesiapa yang berdoa untuk saudaranya secara rahsia (tanpa diketahui oleh saudaranya), malaikat yang bertanggungjawab dalam urusan doa akan mengaminkan ia dan berdoa (untuk si pendoa), “Untuk kamu (habuan doa) yang sama sepertinya.”

Alhamdulillah.

Baca lagi, Haji Ada Ceritanya Yang Tersendiri

Baca lagi, Ajaibnya Doa, Lelaki Ini Dengan Mudah Dapat Visa Tunai Haji

Nota Editor, Buku Ceritera Haji Wartawan Al-Quran boleh dapatkan di seluruh kedai-kedai buku berdekatan anda atau berkunjung ke kedai buku PTS yang terletak di Batu Caves, atau dapatkan tawaran diskaun di Jualan Gudang PTS di Batu Caves yang berlangsung sehingga 9 September ini. Pembelian secara online boleh dilakukan di www.bookcafe.com.my

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024