Sebab Nabi Muhammad Cintakan Aisyah

oleh Roziyah Mahamad • 17 Jan 2011 2:10 AM

Ramai berpendapat Nabi Muhammad mencintai Aisyah kerana kecantikan luarannya sahaja. Namun pendapat ini tidak benar. Isteri-isteri Nabi Muhammad yang lain seperti Zainab, Juwairiah dan Shafiyah juga tidak kurang cantiknya. Sebenarnya kisah kecantikan isteri-isteri Nabi Muhammad yang lain banyak diceritakan dalam hadis serta sejarah. Kecantikan Aisyah kurang disebut berbanding kecantikan isteri yang lain.
Salah satu kisah berkenaan Aisyah adalah dalam kenyataan Umar kepada Hafshah di atas. Jika dikaji dengan mendalam, kenyataan ini memberitahu Hafshah berkenaan tempat istimewa Aisyah dalam hati Nabi Muhammad. Tempat Aisyah dalam hati beliau tidak dapat dicapai oleh isteri-isteri lain termasuk Hafshah.

Hadis yang disampaikan oleh AIsyah dan Abu Hurairah ini menerangkan sebab Aisyah begitu dicintai Nabi Muhammad. Nabi Muhammad pernah berkata, "Perempuan dikahwini kerana empat perkara, kekayaan, keturunan yang baik, kecantikan dan agamanya. Pilihlah perempuan yang baik, kecantikan dan agamanya. Pilihlah perempuan yang baik agamanya, pasti kamu akan beruntung." Hadis ini dicatat oleh Bukhari, Muslim, Tarmizi dan Abu Dawud.
Berdasarkan hadis itu, isteri yang paling Nabi Muhammad cintai adalah isteri yang dapat memberi kebaikan kepada agama dan dakwah Islam.

Aisyah sungguh istimewa berbanding isteri-isteri Nabi Muhammad yang lain. Beliau berpengetahuan luas dalam bidang agama seperti Quran, tafsir, hadis dan fikah. Tafsir ialah menyelami maksud yang disebut di dalam Quran manakala fikah ialah ilmu berkenaan hukum dalam Islam. Beliau mampu melakukan tafsiran dengan begitu mengagumkan, memahami masalah agama dengan mendalam dan mampu merumuskan hukum bagi situasi baru.
Ciri-ciri yang ada dalam diri Aisyah membuatkan Nabi Muhammad lebih mencintainya daripada isteri-isteri yang lain. Ibnu Hazm menulis, Nabi Muhammad mengutamakan semua para isterinya daripada seluruh para sahabat. Ini bermaksud hanya para malaikat dan para nabi sahaja yang mengatasi keutamaan para isteri beliau.

Anas bin Malik menceritakan, kekasih Allah pernah ditanya, "Siapakah orang yang paling tuan cintai?" Beliau menjawab, "Aisyah." Beliau ditanya lagi, "Yang lelakinya?" Beliau menjawab, "Bapanya."

Ayat 3 hingga 4 dalam surah an-Najm ada menyebut, "Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakan itu (sama ada Quran ataupun hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya."

Ayat di atas menegaskan yang cinta Nabi Muhammad pada Aisyah adalah wahyu Allah, bukan atas dasar nafsu semata. Orang yang menidakkan perkara ini bererti tidak mempercayai kata-kata Allah.

Jelas kini kedudukan Aisyah lebih utama daripada seluruh manusia di dunia ini termasuk Abu Bakar, Umar al-Khatab, Ali bin Abu Talib dan Fatimah binti Muhammad. Cinta Nabi Muhammad kepada Aisyah mengatasi rasa cinta kepada semua manusia.

Commenting is not available in this weblog entry.
Artikel popular