Artikel

4 Peristiwa Dalam 4 Bulan Islam Yang Wajib Anda Tahu

oleh Huzaifah Abd Jamil pada 30 Sep 2016

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati…” (At-Taubah: 36)

Empat bulan yang dihormati itu adalah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, dan Rejab. Bulan-bulan ini turut digelar ‘bulan haram’, yang membawa maksud tegahan daripada melakukan perkara-perkara yang tidak disukai Allah sepanjang bulan-bulan berkenaan.

Bersempena kehadiran awal Muharram 1438 Hijrah beberapa hari lagi, marilah sama-sama kita hayati sejarah yang terukir dalam keempat-empat bulan ini.

islam 6

1. Israk Mikraj di Bulan Rejab

Tahun itu digelar ‘Tahun Dukacita’. Rasulullah SAW kehilangan dua insan terpenting dalam hidupnya dalam masa yang sangat dekat. Siapa lagi kalau bukan bapa saudara dan isteri baginda, Abu Talib dan Saidatina Khadijah RA.

Peristiwa Israk dan Mikraj ini terjadi pada satu malam dalam keadaan wujud kedua-dua roh dan jasad. Ketika itu, Rasulullah SAW berjalan dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis dengan menaiki buraq yang ditemani Malaikat Jibril AS.

islam 1

Baginda turun di sana dan menjadi imam solat bagi para Nabi. Rasulullah SAW menambat buraq di lingkaran pintu masjid.

Kemudian, baginda diangkat ke langit teratas. Di sana, baginda melihat Malaikat Jibril AS dalam keadaan yang asal. Malaikat Jibril AS memiliki 700 sayap, seperti yang difirmankan Allah SAW dalam Al-Quran, surah An-Najm ayat 13 hingga ayat 14.

Isalm 8

Seterusnya, Allah SWT berdialog terus dengan Rasulullah SAW dan menetapkan kewajipan solat kepada baginda. Solat itulah yang kemudian menjadi penenang dan penyenang hati baginda.

Selepas itu, baginda pulang ke rumahnya di Makkah pada malam yang sama selepas Allah SWT memfardhukan uma bagi mendirikan solat lima waktu sehari semalam dengan ganjaran pahala seperti mendirikan 50 solat pada setiap waktu.

MENARIK: Sirah Lengkap Rasulllah saw Dalam Atlas Rasulullah

2. Perjanjian Aqabah di Bulan Zulkaedah

Rasulullah SAW mula memperluas dakwah kepada jemaah haji dalam kalangan kabilah-kabilah Arab yang datang ke Makkah pada musim haji ketika itu. Apatah lagi apabila semakin tinggi penolakan orang Quraisy terhadap dakwah Islam dan penyeksaan mereka terhadap orang Islam.

Sementara itu, penduduk Yathrib memiliki sikap yang berbeza kerana mereka hidup berdampingan dengan orang Yahudi dan Ahli Kitab. Mereka memiliki pengetahuan tentang berita kemunculan seorang nabi yang diutus kepada seluruh manusia dalam waktu terdekat.

Allah SWT pun mengatur pertemuan Rasulullah SAW dengan serombongan penduduk Yathrib.

Pada musim haji berikutnya, 12 orang lelaki dari Yathrib datang menemui baginda pada Perjanjian Aqabah yang pertama. Mereka berjanji setia kepada Rasulullah SAW bagi mengesakan Allah SWT, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anak, serta akan selalu berbuat baik.

Islam 2

Baginda mengutus Mus’ab bin Umair RA bagi mengajar mereka membaca Al-Quran dan mendalami ajaran Islam. Melalui tangan Mus’ab, ramai penduduk Yathrib yang memeluk Islam.

Ketika musim haji berikutnya, orang Ansar datang ke Makkah dengan jumlah yang lebih banyak, iaitu 73 lelaki dan dua perempuan. Lalu mereka berjanji setia kepada Rasulullah SAW di Aqabah secara sembunyi-sembunyi.

Mereka berjanji setia untuk selalu melindungi baginda, dan sama-sama bergabung untuk berhadapan dengan sesiapa yang memerangi mereka serta berdamai dengan sesiapa sahaja yang mahu berdamai dengan mereka.

Kemudian, Rasulullah SAW meminta mereka memilih 12 orang antara mereka berjanji kepada baginda. Kesemua 12 orang itu kelak akan menjadi pemimpin kaumnya. Selepas itu, mereka pun kembali ke kampung mereka.

3. Haji Perpisahan di Bulan Zulhijjah

Ketika Rasulullah SAW mahu menunaikan haji, sekitar 100,000 orang sahabat bersiap-siap bagi menunaikan haji bersama baginda. Dalam jumlah itu, selain terdapat orang Islam yang berada di Makkah,

Terdapat juga pelbagai kabilah dan wilayah yang memeluk Islam. Baginda memimpin mereka dalam haji untuk kali pertama dan terakhir.

Rasulullah SAW bersama-sama rombongan haji itu keluar dari Madinah pada hari Sabtu antara waktu Zohor dan Asar. Rombongan Rasulullah SAW sampai di Makkah pada hari Ahad, 4 Zulhijjah 10 Hijrah.

Perjalanan haji itu dinamakan sebagai Haji Islam, Haji Balagh (penyampaian), dan Haji Wida’ (perpisahan).

Islam 3

Baginda menunjukkan cara menunaikan ibadah dan sunnah-sunnah haji kepada seluruh umat Islam. Rasulullah SAW juga menjelaskan segala perkara yang perlu dalam khutbah baginda sambil memuji dan mengagungkan Allah SWT.

Ini adalah satu-satunya ibadah haji Rasulullah SAW yang kemudiannya disebut sebagai Haji Wida’ kerana pada ketika itu Rasulullah SAW menyampaikan ucapan perpisahan kepada umatnya.

Selepas itu, baginda tidak lagi menunaikan ibadah haji sehingga kembali ke rahmatullah.

Islam 4

4. Perluasan Masjid Nabawi di Bulan Muharram

Langkah pertama yang ditempuh oleh Rasulullah SAW apabila tiba di Madinah adalah mendirikan Masjid Nabawi. Lokasi yang dipilih bagi membangunkan masjid adalah di kawasan unta baginda berhenti.

Kemudian, Rasulullah SAW membeli tanah itu daripada dua orang anak yatim yang memilikinya.

Fungsi masjid Nabi SAW itu bukan sekadar untuk solat sahaja, tetapi juga sebagai tempat menimba ilmu untuk orang Islam.

Selain itu, masjid juga menjadi tempat pertemuan pelbagai suku, sekaligus menjadi pusat pentadbiran segala urusan dan aktiviti dakwah. Masjid itu juga dijadikan tempat bermesyuarat antara dewan penasihat dan dewan pelaksana.

Islam 5

Sekembalinya dari Perang Khaibar, Rasulullah SAW memperluas masjid baginda untuk kali pertama di atas sebidang tanah yang dibeli oleh Saidina Uthman bin Affan RA.

Perluasan masjid itu dilakukan kerana jumlah orang Islam semakin bertambah.

Pada bulan Muharram 7 Hijrah, perluasan itu selesai dilaksanakan. Dengan penambahan 20x15 meter, akhirnya ukuran masjid itu menghampiri segi empat berukuran 50x49.5 meter.

Jadi, luas keseluruhannya adalah 2975 meter persegi, tinggi dindingnya mencapai 3.5 meter, memiliki tiga pintu, dan 35 tiang.

Islam 6

Sementara itu, bagi menambah lampu penerang yang dinyalakan dengan minyak, digunakan pula penerang daripada pelepah kurma yang dibakar ataupun dipanggil jamung.

Saidina Uthman bin Affan RA membeli tanah itu dengan bantuan daripada Rasulullah SAW.

Demikianlah beberapa peristiwa berkaitan bulan-bulan yang dimuliakan Allah ini. Sesungguhnya, terkandung beberapa hikmah yang besar kalau benar-benar kita menghayatinya.

Atlas Rasulullah

MENARIK: Hari Terakhir #MyCyberSale2016 di Bookcafe. Dapatkan Buku Serendah RM1, diskaun 95% Sekarang!

Nota Editor: Pelbagai peristiwa bersejarah lainnya akan kita temui melalui buku Atlas Rasulullah SAW karangan Sami’ bin Abdullah Al-Maghluts terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd.

Semoga dengan pembacaan buku ini, kita dapat mempelajari sejarah kehidupan emas Rasulullah yang penuh pengajaran.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024