Artikel

5 Buku Dr Yusuf Al-Qaradhawi Yang Patut Ada Dalam Setiap Rumah

oleh Nor Fatin Amira Salleh pada 06 Oct 2017

Kata orang, “Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.” Begitu juga dengan pengarang-pengarang kitab dan penulis buku. Buku mereka tetap menjadi rujukan dan bahan bacaan walaupun berpuluh-puluh, malah ada yang ratusan tahun berlalu. Nama mereka akan terus diingati dan dikenali sepanjang masa selagi buku mereka terus dicetak dan dibaca.

Antara penulis yang berjaya mencapai taraf itu adalah Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Beliau dikenali sebagai ulama dan pemikir Islam yang unik dan istimewa. Ini kerana, beliau mempunyai cara dan metodologi khas dalam menyampaikan risalah Islam.

Disebabkan metodologi itu, beliau mudah diterima di dunia Barat sebagai seorang pemikir yang menyampaikan Islam secara hikmah, santun, dan seimbang. Kreadibiliti yang hebat menyebabkan beliau sering dijemput menghadiri pertemuan antarabangsa di Eropah mahupun Amerika Syarikat sebagai wakil masyarakat Islam.

Di sini, kami senaraikan lima buah buku beliau yang masih menjadi rujukan seluruh dunia.

1. Halal dan Haram dalam Islam

Buku yang kali pertama diterbitkan pada tahun 1960 ini membincangkan Isu-isu dan hukum hakam seputar bab ibadah, makan minum, bab perkahwinan, malah turut dibahaskan isu-isu politik, hubungan sosial, dan pelbagai lagi. Karangan beliau ini telah diulang cetak sebanyak 70 kali dan diterjemah di seluruh dunia.

Halal dan Haram - Yusuf Al-Qaradhawi

2. Fatwa Kontemporari

Sememangnya karya-karya tulisan Dr. Yusuf Al-Qaradhawi selalu menjadi rujukan umat Islam seluruh dunia terutama berkaitan fatwa dan hukum sesuatu perkara. PTS turut mengambil inisiatif menterjemahkan karya hebat beliau yang berjudul Fatawa Muasirah ke dalam Bahasa Melayu.

Fatwa Kontemporari

Himpunan fatwa yang dikeluarkan oleh beliau sudah dikumpul menjadi satu kitab dan PTS membahagikannya kepada beberapa jilid dan siri mengikut pembahagian isu. Antaranya Akidah dan Ibadah, Hubungan Kemasyarakatan, Perubatan dan Politik, serta banyak lagi.

3. Fiqh Keutamaan

Buku ini diterbitkan sekitar tahun awal 90-an. Buku yang berjudul Fiqh Aulawiyat ini diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu dan diterbitkan oleh PTS Publishing House pada tahun 2014 dengan judul Melayunya, Fiqh Keutamaan. Berkisarkan isu-isu terpilih, buku ini menjelaskan antaranya tentang ibadah mana yang patut diberikan keutamaan terlebih dahulu.

Fiqh Keutamaan - Yusuf Al-Qaradhawi

Contohnya, menunaikan ibadah haji setiap tahun ataupun menyumbangkan dana tersebut kepada mangsa perang? dan membantu orang yang dizalimi ataupun menghalang orang yang melakukan kezaliman?

4. Fiqh Jihad

Melihatkan dunia kini yang semakin meruncing dengan masalah perang dan konsep perjuangan jihad yang ditimbulkan sesetengah pihak, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi tampil dengan karya Fiqh Jihad. Karya yang membahaskan persoalan-persoalan jihad ini diterbitkan pada 2009.

Fiqh Jihad

Seterusnya ia diterjemahkan dan diterbitkan ke dalam edisi Bahasa Melayu oleh PTS pada tahun 2013. Antara yang dikongsikan penulis dalam karya ini adalah Hakikat Jihad dalam Islam, Perbezaan antara Jihad dan Pengganas (Irhab), dan Hukum Perang antara Negara Islam.

MENARIK: Istilah Kafir Harbi Perlu Dikaji Semula - Dr. Yusuf Al-Qaradhawi

MENARIK: Adakah Kita Sedang Bergerak ke Perang Dunia ke-3?

5. Fiqh Hiburan dan Rekreasi

Buku ini diterjemahkan dan diterbitkan pada tahun 2014 oleh PTS. Membahaskan dengan lebih teliti mengenai batasan syarak berkenaan ketawa dan jenaka seperti Hukum Berhibur dengan Tarian dan Tepukan, Hukum Berhibur dengan Drama dan Filem dan yang berkaitan dengannya.

Fiqh Hiburan dan Rekreasi

MENARIK: Bagaimana Sebenar Kita Sepatutnya Berhibur?

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dilahirkan pada 9 September1926 di sebuah desa kecil di Mesir bernama Shafth Turab. Beliau mula menghafaz Al-Quran sejak berusia 10 tahun. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menamatkan pendidikan awal sehingga peringkat tertinggi di Maahad Thantha. Selepas lulus, beliau melanjutkan pelajaran ke Fakulti Usuluddin di Universiti Al-Azhar dan menamatkan pelajaran pada 1952.

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi memperoleh gelaran doktor pada tahun 1972. Di Qatar, beliau menubuhkan Fakulti Syariah di Universiti Qatar dan mendirikan Pusat Kajian Sejarah dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Dalam pemikiran dan dakwah, usaha jitu Dr. Yusuf Al-Qaradhawi begitu relevan dalam perkembangan Islam pada masa kini.

Klik di sini untuk lihat lebih banyak karya-karya Dr. Yusuf Al-Qaradhawi

Buku Yusuf Qardhawi

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024