513 Halaman Novel Kesatria-Ahmad Patria Abdullah, Kaya Bahasa, Bukan Penamat Kronika Nashan

oleh Bastian Affendy pada 30 Oct 2017

513 mukasurat termasuk sudut pengkayaan bahasa dan gaya penulisan aksara-aksara Kushan. 32 bab penuh dengan gaya penceritaan Ahmad Patria Abdullah, Kesatria bukan calang-calang penambahan kepada kronika yang sedang dibentuknya.

Buku ketiga di dalam Kronika Nashan ini, pada sangkaan awal saya merupakan penutup kepada sebuah trilogi, rupa-rupanya sangkaan saya tersasar. Kronika Nashan seakan tidak mahu menghentikan momentum penceritaan di bumi Imagina, seakan amat luas kanvas naratif yang ingin penulis sampaikan.

Novel Kesatria - Ahmad Patria

Saya isytihar Kesatria ini adalah sebuah testimoni terhadap sangkaan tersebut. Meneruskan naratif selepas Wizra (novel kedua), Kesatria memuaskan pembacaan saya yang amat mengharapkan penyudah yang gemilang di dalam kempen Perang Nashan.

Namun apabila difikirkan semula, sekali lagi saya tersalah anggar tentang bagaimana saya seharusnya menikmati buah tangan penulis tersohor ini. Nikmat sebenar membaca Kesatria ini sebenarnya terletak di bait-bait yang mengisi sepanjang pengembaraan naratif, yang tersembunyi disebalik perenggan-perenggan, disebalik tabir pembahagian babak.

MENARIK: Novel Aristokra Sebuah Naratif Mega Dari Ahmad Patria

Ahmad Patria amat berseni di dalam mengisi selok-belok penceritaan. Dan saya tidak terasa ada segmen-segmen yang boleh dikesan sebagai 'pengisi' hanya sekadar untuk memanjangkan cerita atau untuk menambahkan ketebalan novel.

Ahmad Patria, Kesatria, Aristokra, Wizra

Izil? Bagi saya, naratif Izil adalah rahmat yang tersembunyi, berita gembira buat peminat-peminat Ahmad Patria. Semoga Impiria (dengan izin Tuhan, buku keempat Kronika Nashan) akan selamat tiba untuk meneruskan kisah epik ini.

MENARIK: Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Novel Kedua, Wizra dalam Siri Kronika Nashan

Satu pembacaan yang mengasyikkan. Dan saya dapat melakukannya tanpa tersekat dengan stigma takut akan penggunaan bahasa tahap tinggi di dalam novel-novel penulis (satu keluhan yang sering saya dengar apabila saya mencadangkan novel-novel penulis kepada beberapa kenalan), tanpa rencatan terhadap magnitud fantasi yang penulis sampaikan.

Saya fikir itulah yang pembaca perlukan untuk menikmati novel-novel beliau; berfantasi ketika membaca. Hanya memerlukan sentuhan logamaya yang mengiringi pembacaan.

--

 Bastian Affendy menulis ulasan novel ini di Goodreads.