Artikel

7 Buku Untuk Bacaan Anda Sempena Hari Merdeka

oleh Huzaifah Abd Jamil pada 29 Aug 2016

Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Gegak gempita Stadium Merdeka Kuala Lumpur dengan laungan keramat ini, menandakan bahawa Tanah Melayu sudah bebas dari cengkaman penjajahan bangsa luar.

Tahun ini adalah tahun ke-59 negara kita merayakan ulang tahun kemerdekaan. Peristiwa suka duka dalam membangunkan negara ini pula dibukukan dalam pelbagai bentuk, novel umpamanya.

7 Buku ini sesuai untuk bacaan anda sempena Hari Kemerdekaan ini.

1. Hang Nadim Laksama Jihad

Hang Nadim

Hang Nadim yang dimaksudkan bukan Hang Nadim yang membantu Singapura ketika dilanggar todak. Ini Hang Nadim anak Hang Jebat.

Laksamana Melaka yang gagah mendapatkan semula Melaka daripada Portugis. Walaupun Portugis kukuh di Kota A Famosa, serangan demi serangan tetap dilancarkan oleh Hang Nadim demi jihad kepada agama dan tanah air.

2. Enrique Melaka Melayu Pertama Mengelilingi Dunia

Enqirue Melaka

Tak terbayang dalam fikiran bahawa saat Nusantara meraung dengan kejatuhan Melaka, ditakdirkan seorang budak istana diberi peluang melihat dunia.

Hasil dari pengalaman beliau melihat dunia itulah “jiwa merdeka” terbentuk. Jiwa merdeka dapat dilihat sebagai jiwa yang tidak terkongkong dan terperap dengan arus lama dan bermegah dengan kejayaan silam.

3. Moyang Salleh Lagenda Jelebu

Moyang Salleh Lagenda Jelebu

Konflik tercetus apabila anak sahabatnya dibunuh oleh Sultan Johor yang suka merampas isteri dan tunangan orang. Moyang Salleh dihantar sebagai utusan untuk menuntut hak dan mendapatkan penjelasan daripada Sultan Johor.

Namun, Sultan Johor terlalu angkuh dan enggan menemui mereka. Malah, mereka dipermain-mainkan dan dilayan dengan kasar. Mereka pantang dicabar dan mula menunjukkan kehebatan mereka.

4. Dol Said Pahlawan Naning

Dol Said

Dol Said atau nama sebenar beliau Abdul Said lahir pada tahun 1773 di Naning, Alor Gajah, Melaka, berasal dari suku Semelenggang.

Penentangan Penghulu Naning kesembilan ini berpunca apabila pihak British meminta Naning memberi satu per sepuluh daripada hasil pertaniannya.

Dol Said enggan tunduk kerana menganggap Naning negeri yang merdeka.

5. Perang Jementah Kuasa Diutamakan, Agama Diketepikan

Perang Jementah

Berita kemangkatan Sultan Ali mengejutkan seluruh penduduk Umbai-Kesang. Sebelum mangkat, baginda mewasiatkan supaya Tengku Mahmod dilantik menjadi sultan menggantikan baginda.

Pelantikan ini ditentang oleh Tengku Alam, putera sulung baginda. Akibat tentangan itu, tercetuslah perang saudara yang pertama di Johor.

6. Leftenan Adnan Wira Bangsa

Leftenan Adnan

Dalam pertempuran dengan askar Jepun, askar Melayu menunjukkan keberanian dan semangat keperwiraan yang hebat di mana seramai 152 anggota askar Melayu, termasuk tujuh pegawai Melayu terkorban.

Antara pegawai askar Melayu yang terkorban itu adalah Leftenan Adnan bin Saidi. Dia bersama 42 orang anggotanya berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir.

7. Wira Kemerdekaan Wira Yang Terpinggir

Wira Kemerdekaan

Wira yang tidak didendang. Pada saat komunis mengganas dan menggila di Tanah Melayu, Pak Rahman adalah seorang perwira. Puluhan komunis yang menyerang kampung mereka ditembak dan tumpas ditangan Pak Rahman.

Lalu beliau diisytihar sebagai musuh utama komunis dan diburu sehingga memaksa beliau lari ke luar negara untuk menyelamatkan nyawanya.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024