Artikel

Ahmad Patria, Penulis Novel Siri Kronika Nashan Bakal Temui Peminat di Sabah Pada 2 Disember 2017

oleh Asri Yussof pada 15 Nov 2017

Siapa yang tidak kenal dengan karya bersiri Saga Artakusiad. Penulisnya adalah Ahmad Patria. Beliau disebut sebagai pelopor kepada sastera fantasi di negara ini. Novel pertama beliau, Permata Aurorius, buku pertama dalam siri fantasi Saga Artakusiad diterbitkan pada 1987 sewaktu beliau berumur 17 tahun.

Datoʼ Johan Jaafar dalam temu ramahnya dalam akhbar Berita Harian pernah menyifatkan Permata Aurorius sebagai novel fantasi terbaik pernah dihasilkan dalam bahasa Melayu. Novel ini terpilih memenangi anugerah Book of the Year oleh Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan pada tahun yang sama.

Dalam beberapa jeda waktu beliau memencilkan diri sehinggalah pada 2016 lalu beliau mengejutkan industri buku negara dengan hadir bersama siri novel terbarunya- Kronika Nashan yang diterbitkan oleh Penerbit-X.

Ahmad Patria - Penerbit-X

Novel pertamanya, Aristokra dilancarkan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 (PBAKL) yang diadakan di Maeps Serdang. Novel keduanya, Wizra diterbitkan pada januari 2017 dan disambung pula dengan novel ketiga, Kesatria pada April. Keduanya-duanya dilancarkan di PBAKL 2017 lalu di PWTC, Kuala Lumpur.

Fadhli Akiti, bekas editor Dewan Sastera pernah menyifatkan siri Kronika Nashan adalah “sebuah penulisan yang luar biasa. Novelnya mempunyai bahasa sendiri. Jiwanya sudah sangat berlainan. Semangatnya sudah ada di dunia baru. Novel Ahmad Patria boleh berdiri sendiri.”

Untuk pertama kalinya, pada 2 Disember 2017 ini beliau akan berada di Kota Kinabalu, Sabah sebagai salah satu rangka mempromosikan novel-novel beliau dalam siri terbarunya ini, Kronika Nashan yang diterbitkan oleh Penerbit-X.

Novel-novel Ahmad Patria

Anda semua boleh bertemu beliau di Times Bookstore, Suria Sabah pada pukul 1.00 - 2.00 petang sempena Times Bookfair pada 2 Disember 2017 nanti. Sesi soal jawab dan ramah mesra akan diadakan sepanjang acara ini berlangsung.

Times Bookfair akan berlangsung pada 30 November sehingga 10 Disember 2017 di outlet mereka Times Bookstore, Suria Sabah, Kota Kinabalu. Selain Ahmad Patria, penterjemah novel Frankenstein karya Mary Shelley, iaitu Dali Fazuri juga akan bersama-sama di acara itu nanti.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024