Artikel

Air Mata Ummah: #Diari Seorang Mujahidah Kembara Syria

oleh Adzkia Amanah Ugi Suharto pada 25 May 2015

“Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada mereka yang sabar. (yaitu) orang-orang yang ketika ditimpa musibah, mereka berkata “Inna lillahi wa inna ilaihirojiun” – sesungguhnnya kami milik Allah dan kepadaNya kami kembali. (Surah Al-Baqarah, 155- 156)

Kali kedua membelek buku ini secara serius, kali kedua jualah air mata tumpah menyembah bumi.

Benar, gambar mampu menceritakan 1001 kisah. Dan padanya ada sejuta emosi untuk diterjemahkan.

Ada yang menghirup rebusan air kotak untuk mengisi perut yang lapar. Ada yang terpaksa menjadikan kucing dan anjing sebagai habuan saat langsung tiada makanan yang boleh didapati.

Ada juga yang gugur syahid menahan kedinginan suhu musim sejuk yang mencengkam tulang tanpa bekalan api dan pakaian tebal.

Saat ini terbayang jika diri sendiri yang melalui semua ini. Jika yang diperkosa dalam keadaan bergari itu kakak dan adik perempuan kita sendiri.

Jika yang dikerat empat dan mayatnya dibuang di hadapan keluarga itu adalah ibu kita sendiri.

Dan kita ditinggalkan sendiri, yatim piatu tanpa ibu ayah, menjadi ketua keluarga menyara adik-adik kecil yang masih belum memahami erti hidup.

Semua ini seakan mimpi ngeri yang panjang tidak berpenghujung.

Lebih penat lagi bila mengetahui semua ini adalah realiti yang berlaku di bumi, dan bukan mainan fantasi.

Dengan izin Allah, perkongsian mujahidah Heliza Helmi ini akan sedikit sebanyak membantu kia menyelami lautan perasaan mangsa penindasan di sana.

Semoga dengan ini, kita menjadi lebih bersyukur atas pelbagai nikmat yang kita miliki pada hari ini.

Mohon malam ini sebelum memejamkan mata di tempat pembaringan, kita mengirimkan tembakan doa buat saudara seagama kita di sana.

Dan semoga semua ini segera berakhir dan kemanusiaan segera kembali memerintah di bumi kelahiran nabi itu.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024