Artikel

Anda Peminat Kisah Penyiasatan? Saya, Sherlock & Lupin: Wanita Berkelubung Hitam

oleh Hafiz Hafifi Hassan pada 03 May 2016

Siapa sangka detektif terkenal dunia, wanita yang licik dan licah dalam dunia Holmes dan juga pencuri terhebat serta pakar penyamaran pernah berkongsi zaman kanak-kanak yang sama.

Penulis mencipta satu prequel kepada 3 watak yang tidak asing kepada dunia fiksyen penyiasatan.

Peminat tulisan Sir Athur Conan Doyle, khususnya Sherlock Holmes pasti berminat dengan novel ini.

Lebih-lebih lagi mereka yang tegar ingin mengetahui kisah remaja sebelum ketiga-tiga mereka menjadi watak terkenal dalam novel fiksyen penyiasatan.

Novel ini adalah sebuah novel yang ringan untuk dibaca dan sesuai dengan sasaran pembaca muda sekitar 9 tahun hingga 13 tahun.

Plot yang mudah dan tidak banyak kepingan puzzle yang perlu dicantum bagi memahami jalan cerita.

Ada juga beberapa bahagian yang agak klise dan perincian tentang penyiasatan terlalu dipermukaan dan mudah dirungkai.

 

Walau bagaimanapun, tetap perlu diakui, novel ini baik sebagai permulaan kepada remaja untuk berjinak-jinak membaca buku ala penyiasatan dan semi-kompleks.

Kepada pembaca dewasa, jangan meletakkan jangkaan yang tinggi kepada novel ini setara dengan penceritaan Sir Arthur Conan Doyle mahupun Maurice Leblanc.

Novel ini tidak kompleks dan tidak berjela panjang untuk tatapan pembaca yang mahukan isi yang matang, ganas, dan rumit.

Sekadar novel santai untuk pembaca dewasa dan seronok untuk dihayati.

Apa yang menarik dalam susur literal novel ini adalah sudut penceritaan yang tidak memfokuskan kepada Sherlock Holmes mahupun Lupin, tetapi Irene Adler sebagai watak utama.

Kebiasaannya, Irene hanya watak pelengkap kepada Sherlock, wanita yang dikagumi kerana kelicikannya dan cantik di mata penghuni rumah 221B Jalan Baker.

Maka, olahan penceritaan lebih kepada sudut pandang wanita yang dibantu dua watak lelaki.

 

Namun begitu, fokus kepada Irene tidak sehingga mengabaikan terus perincian kepada Sherlock dan Lupin.

Latar belakang Sherlock misalnya, dikembangkan lagi dengan kisah keluarganya. Mycroft, abang kepada Sherlock turut diselitkan serta ibu dan adiknya.

Tetapi, menurut tulisan Sir Athur Conan Doyle tidak pernah mengatakan tentang Sherlock mempunyai adik bernama Violet.

Pengenalan kepada keluarga akrobatik Lupin yang juga mahir dalam silap mata dan seni mempertahankan diri turut diselitkan.

Sekurang-kurangnya novel ini tidak mengabaikan asas-asas karakter yang dicipta oleh penulis asal walaupun ada sedikit tokok tambah.

 

Di awal penceritaan, bermula dengan Irene yang bercuti ke Saint Malo dari rumah mereka di Paris.

Tinggal bersama ibu dan pembantu mereka Tuan Nelson serta selalu berjauhan dengan bapanya, Leopald.

Penulis cuba menggambarkan Irene adalah seorang gadis yang cilik dan cerdas pada permulaan sebelum segala-galanya berlaku.

Dalam novel ini menerangkan bagaimana Irene Adler mula terjebak dengan dunia Sherlock Holmes yang bakal terkenal kelak.

Hakikatnya, sebelum 3 watak ini menjadi popular, mereka bermula dengan menjadi kumpulan penyiasat yang secara kebetulan berjumpa di pekan kecil Saint Malo.

 

Mungkin kita biasa dengar Inspektor Lestrade dan juga Dr. Watson, jangan menjangkakan mereka hadir dalam novel ini.

Watak-watak yang wujud dalam novel ini hanya mereka yang tinggal di Saint Malo, kaum keluarga 3 watak utama ini, dan para penjahat.

Musuh ketat kepada Sherlock seperti Professor Moriarty juga tiada dalam novel ini.

Apa yang boleh dijangkakan hanya watak-watak yang kita semua tidak kenali dan berkisarkan zaman kanak-kanak 3 lagenda fiksyen penyiasatan ini.

 

Tidak keterlaluan rasanya jikalau saya menyebut bahawa novel ini lebih terarah kepada sebuah novel adventure remaja berbanding novel penyiasatan sepenuhnya.

Penceritaan lebih memfokuskan kepada adventure 3 watak ini dalam pekan kecil Saint Malo.

Tiada penyiasatan yang rumit, jauh sekali wujudnya plot yang melibatkan ‘sains deduksi’ yang diperkenalkan oleh Sherlock Holmes.

 

Boleh dikatakan 8/10 daripada novel ini mengisahkan tentang remaja yang sedang menghabiskan cuti musim panas.

Pada bab-bab terakhir barulah banyak unsur penyiasatan yang lebih serius.

Sekiranya dikumpulkan sekali gus dan deduksi dilakukan secara mendadak, seolah-olah mahu menamatkan cerita dengan segera.

Tetapi, gaya penceritaan ini sesuai dengan sasaran pembaca muda yang baru berjinak dengan olahan cerita separa santai dan semi-kompleks.

 

Secara keseluruhannya, novel ini adalah satu novel pendek yang baik untuk pembaca muda.

Isi yang santai dan pada masa yang sama mempunyai konten yang membina.

Novel seperti ini sekurang-kurangnya mampu memberi ruang kepada peminat Sherlock dan Lupin meneroka zaman muda mereka dengan lebih banyak serta memberi gambaran awal apa yang membentuk karakter-karakter legenda ini.

Moga dalam siri-siri yang seterusnya dapat mengembangkan lagi watak Irene, Sherlock, dan Lupin supaya kita mendapat perincian yang jelas serta olahan penyiasatan yang lebih menarik dan tidak terlalu mudah dijangka.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024