Apa Kata HAMKA Tentang Supermoon

oleh Huzaifah Abd Jamil pada 16 Nov 2016

Sangat bertuah sesiapa yang berpeluang menikmati wajah bulan dalam jarak dekat pada isnin lalu. Fenomena supermoon ini dikatakan berlaku hanya sekali dalam jangka masa 18 tahun. Menarik, bukan?

bulan

Bulan sentiasa menarik perhatian para pujangga dan orang-orang lama sebagai lambang keindahan. Oleh itu, ada pepatah menggambarkan kecantikan seseorang umpama bulan dipagar bintang.

Al-Quran turut menceritakan tentang keberadaan bulan dan keistimewaannya. Lihatlah betapa indah kejadian Tuhan yang satu ini.

Menelusuri juzuk 30 dalam Al-Quran, akan kita temui beberapa surah yang menyebut tentang bulan.

  1. Surah Al-Insyiqaaq ayat 18
  2. Surah Ash-Shams ayat 2
  3. Surah Al-Qadr ayat 3

Mari kita membelek tafsir Al-Azhar Juz-30 yang ditulis oleh HAMKA, apakah tafsiran beliau tentang fenomena bulan.

tafsir al-azhar juz30

Demi bulan apabila telah purnama. (Al-Insyiqaaq, ayat 18)

HAMKA menulis,

Bahawa bulan purnama adalah puncak kesegaran dan keindahan alam. Ketika ini, kerlipan bintang tidak mampu menarik perhatian, alam menjadi terang seakan disadur emas, keindahan mula mempengaruhi dan membawa udara yang nyaman.

bulan cerah

Fasa terakhir kitaran bulan ini mengundang pelbagai kajian, dan kebanyakan hasil kajian melibatkan perubahan emosi secara mendadak dalam kadar yang tinggi.

Di sini terselit hikmah suruhan Nabi Muhammad SAW untuk berpuasa di setiap pertengahan bulan.

Demi bulan apabila ia mengikuti. (Ash-Shams, ayat 2)

HAMKA berpendapat bulan mengikuti matahari di saat purnama, bermula pada hari ke-13 sehingga hari ke-16 setiap bulan. Waktu itulah kita dapat melihat sepenuhnya wajah bulan.

Pertukaran malam dan siang adalah satu daripada kesenian agung ciptaan Tuhan, kerana kita dapat melihat cahaya matahari yang menerangi kehidupan dan cahaya bulan yang menyuluh perjalanan.

bulan

Malam Kemuliaan itu lebih utama daripada seribu bulan. (Al-Qadr, ayat 3)

Tiada bulan yang lebih baik daripada malam ini, iaitu Lailatul-Qadr atau malam seribu bulan. Beribadahlah sehingga 80 purnama, tidak akan sama dengan amalan di malam yang satu ini.

Tidak salah lagi, orang bertuah sahaja berpeluang menikmati supermoon. Hanya dengan melihat bulan, pelbagai pelajaran mampu diambil sebagai penyuluh hidup hingga ke akhir hayat.