Artikel

Aura Motivasi : #ProfMuhaya’s Quotes

oleh Khairul Aswad Khairul Anuar pada 11 Jan 2016

Hidup kita ini sering kali diselubungi dengan pelbagai aura. Ada aura positif dan ada aura negatif. Kadang-kadang yang membawa aura ini adalah orang di sekeliling kita, terutamanya rakan-rakan dan keluarga kita sendiri.

Bila dibawa aura yang positif, dengan kita-kita juga akan jadi lebih bermotivasi untuk jalani hidup. Tapi apabila dikelilingi dengan orang yang mempunyai aura-aura negatif, sedikit sebanyak boleh mengganggu hari-hari kita.

Kenapa tiba-tiba bercakap mengenai aura? Bukan apa, buku terbaru terbitan PTS Publishing House ini akan membuatkan diri anda diselubungi aura-aura yang bermotivasi dan menjadikan anda seorang insan yang lebih matang dan berguna.

Siapa tidak kenal dengan Prof. Dr. Muhaya. Beliau sering kali memberikan kata-kata motivasi yang berguna kepada sesiapa yang mendengar.

Malah, kata-kata motivasi beliau di Facebook juga sering kali mendapat ribuan like dan share. Itu membuktikan ramai orang terkesan dan suka dengan bait penulisan atau kata-kata beliau.

Dalam buku ini, beliau tidak menulis secara terus kepada pembaca. Sebaliknya, beliau meletakkan banyak mutiara kata atau quotes yang memerlukan seseorang itu meneliti dan mentakrifkan sendiri maksudnya.

Ini juga secara tidak langsung dapat merangsang minda kita untuk berfikir.

Beliau banyak memperingatkan pembaca tentang pentingnya hubungan dengan Allah S.W.T. Begitu banyak quotes beliau yang menitikberatkan isu ini. Benar, andai kita menjaga hubungan kita dengan Allah S.W.T, hidup kita akan lebih tenang.

Selain itu, pelbagai jenis nasihat mengenai hubungan kekeluargaan juga turut disertakan. Bagaimana seorang isteri perlu menjaga adabnya, bagaimana seorang suami harus menjaga keluarganya.

Selain itu, terdapat juga banyak quotes yang memerlukan kita mengaudit diri. Setiap kali kita membaca petikan quotes beliau, kita harus cermin diri, adakah kita sudah cukup baik amal timbangan?

Adakah hubungan kita sesama manusia sudah dijaga dengan sehabis baik? Adakah kita sudah persiapkan diri untuk berjumpa dengan Allah S.W.T kelak?

Jadi, buku ini memang seharusnya dibaca oleh semua golongan. Baik yang tua ataupun yang muda. Bukan yang tua saja harus persiapkan diri untuk berjumpa Allah S.W.T, yang muda pun begitu.

Kita harus ingat…ajal itu datangnya bila-bila masa saja. Hanya Dia saja yang mengetahui.

Jadi, Ayuhlah kita audit diri diri, dan hiasi peribadi kita!


 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024