Artikel

Ayat Pedas Tetapi Berisi: #Sound Direct

oleh Syarafuddin Sulaiman pada 03 Nov 2015

“Hang pa jangan duk lena waktu aku bercakap!”

Terperanjat hadirin mendengar sergahan beliau. Sudahlah suaranya kuat dan garang, wajahnya juga menakutkan. Hilang semua rasa mengantuk.

Itulah Ustaz Abdullah Khairi yang terkenal dengan suara lantang dan ucapan penuh bersemangat. Memang payah mahu tidur apabila mendengar ceramah beliau. Apa lagi kata-katanya bukan hanya mampu membangkitkan semangat, bahkan banyak juga yang meruntun perasaan. Boleh buatkan kita sekejap tersentak, tetapi sekejap lagi, menangis.

Apabila tengok sahaja kulit depan buku pertama beliau ini, terasa sesuai sangatlah dengan orangnya. Tajuknya #Sound Direct dan muka ustaz pun seperti mahu makan orang. Kemudian apabila ada pula cabaran “Tazkirah-tazkirah panas… Kalau boleh lena, cubalah”, memang terasa mahu belek isi.

Isi buku #Sound Direct berselang-seli. Dimulakan dengan kata-kata pendek satu muka, dengan huruf-huruf besar yang memberi impak. Kata-kata ini pula dikekalkan dalam dialek utara. Memang terasa seperti “kena sound sedas.” Contohnya apabila ustaz berkata, “Minyak nak pi pasar malam, buh dua ringgit. Untuk masuk syurga Allah, buh seringgit ja… Kedekut dak?”

Berpeluh jugalah mahu menjawabnya….

Kemudian disusuli dengan tazkirah yang lebih terperinci berkenaan hal itu, dalam huruf bersaiz biasa sebanyak dua muka surat. Apabila ustaz sound, “Kita nak sombong apa tuan-tuan, dengan pangkat kita, apa ada, Dato’? Masuk dalam kubur ada Dato’? Ada Tengku?”, diterangkan berkenaan Pangkat akan Ditinggalkan. Lengkap dengan ayat Al-Quran dan penjelasan. Ada waktunya diselitkan hadis dan kisah.

Sewaktu melihat buku ini dengan susun atur menarik dan isi dalam yang bukan hitam putih (warnanya ungu dan biru) serta tebal pula, memang tidak sangka harganya cuma RM20 (Bookcafe.com.my ada diskaun). Waktu malas-malas itu, bolehlah baca bahagian yang pendek-pendek. Ada 80 semuanya.

Kemudian apabila ada waktu lebih, kita dapat baca penjelasannya pula. Insyaallah berbaloi-baloi.

p/s: Kalau dengan RM20 dapat makan stik sekali sahaja pun sudah rasa berbaloi, tidakkanlah beli buku agama yang dapat dibaca lama-lama, rasa tidak berbaloi pula. Tidak begitu, tuan-tuan?

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024