Artikel

Bagaimanakah Gambar Terbaik Menurut Lensa Islam?:Fotografi Gaya Mukmin

oleh Khairul Aswad Khairul Anuar pada 02 Dec 2015

Satu, dua, tiga… say cheese!

 

Itu pasti adalah ayat-ayat biasa yang akan disebut si pemegang kamera di saat mereka mengambil gambar anda.

Waktu itulah anda akan cuba menghasilkan senyuman paling comel dan indah pernah anda ada sebab ia akan diabadikan dalam bentuk gambar sebagai kenangan.

Kalau gambar yang dihasilkan tidak begitu menarik, sebagai contoh hidung anda sedang mengembang, mata anda sedang terpejam sebelah…

si pemegang kamera akan dipersalahkan. Itu perkara biasa dalam fotografi.

Namun, apa yang luar biasanya adalah makna di sebalik setiap foto yang anda ambil. Adakah ia bertujuan untuk dijadikan kenangan?

Adakah ia bertujuan untuk dijadikan satu bahan komersial? Atau adakah ia bertujuan untuk dijadikan bahan fitnah? Itu semua bergantung kepada nawaitu anda menjalankan sesi fotografi.

PTS kini menghasilkan sebuah lagi buku berkualiti untuk bacaan anda. Buku Fotografi Gaya Mukmin karya bersama Imran Burhanuddin dan Ustaz Azhar Idrus ini boleh dijadikan rujukan sepanjang anda mengambil gambar dengan kamera anda.

Mengambil gambar pun kena ada buku? Bukan sekadar tekan butang capture?

Indahnya Islam adalah apabila ia adalah agama yang sempurna. Islam mempunyai garis panduan dalam kehidupan yang tidak terpengaruh dengan perubahan zaman.

Walau di zaman mana kita berada, garis panduan yang ditetapkan Allah tetap patut kita turuti. Begitu juga dalam mengambil gambar atau fotografi.

Ada garis panduan yang ditetapkan agar apa yang kita lakukan tidaklah mendapat dosa.

Di bahagian awal buku, pembaca akan didedahkan dengan sejarah asal fotografi, termasuklah penciptaan optik, lensa, dan kanta.

Seterusnya di bab satu dan dua, pembaca akan dapat mengetahui di mana kedudukan fotografi dalam Islam. Adakah ia halal untuk dijadikan sumber pendapatan?

Adakah ia bertentangan dengan syarak kerana merakam gambar-gambar bernyawa?

Di bab tiga pula, pembaca akan didedahkan kepada empat jenis fotografi yang wujud seperti foto kewartawanan, lanskap, makro dan seni bina.

Namun apa yang menarik adalah apabila di setiap gambar yang diambil, akan diterangkan sebab kenapa foto itu dianggap terbaik, hikmah merakam gambar seperti itu dan disokong dengan ayat-ayat al-Quran dan hadis.

Jadi, kepada sesiapa yang berminat mengambil gambar, bolehlah mendapatkan buku ini sebagai satu sumber rujukan garis panduan dalam seni fotografi supaya gambar-gambar yang kita ambil dapat menjadi sumber saham akhirat dan bukannya bebanan yang perlu ditanggung sewaktu di padang mahsyar kelak.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024