Artikel

Bahana Susuk: Kaedah Merawat Susuk

oleh Nor Fatin Amira Salleh pada 24 Feb 2016

Susuk adalah suatu perubatan tradisional yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu di Malaysia. Pemakaian susuk adalah satu perbuatan yang diharamkan Islam kerana mengandungi unsur-unsur syirik.

Mengikut sejarah, pengamal susuk muncul sejak zaman Firaun lagi. Hal ini didapati apabila seorang yang tua berumur ratusan tahun kelihatan seperti belasan tahun kerana susuk yang dipakainya.

Tujuan pengamalan susuk juga banyak. Menurut kepercayaan, susuk dapat membuatkan pemakainya menjadi kebal, cantik, sentiasa sihat, mendapat kekuatan luar biasa, dan sebagainya.

Susuk juga tergolong dalam perkara-perkara yang khurafat seperti santau, sihir, dan yang berkaitan. Hal ini menyebabkan pengamalannya menjurus kepada dosa besar. Ramai yang terdesak memilih bagi memakai susuk demi kepentingan diri.

Dalam buku ini juga ada mengatakan, proses memakai susuk ke dalam tubuh tidak begitu rumit. Ini kerana, memakai susuk hanya memerlukan masa yang singkat, iaitu selama beberapa minit. Susuk juga boleh dipakai pada bila-bila masa kerana tiada ketetapan waktu bagi memakainya.

Penggunaan konteks ayat ini mungkin membuatkan kita berfikir penggunaan susuk adalah mudah. Namun, penulis buku ini lebih menekankan bahana daripada pemakaian susuk yang banyak pantang larangnya. Antaranya adalah tidak boleh makan sate, berjalan di bawah tali jemuran, solat dan puasa, serta pelbagai perkara lagi.

Dalam pada itu, dunia perubatan moden mencipta satu alternatif khususnya untuk bidang kecantikan. Suntikan Botulinum Toxin Type A (Botox) adalah ciptaan yang mungkin dapat menggantikan penggunaan susuk.

Namun, ia masih dalam perdebatan panjang kerana tidak menepati syariat agama. Kandungan yang berbahaya untuk kesihatan dan unsur haram seperti penggunaan gelatin babi antara sebab ia bukan penyelesaian bagi menggantikan susuk. Justeru, pemakaian susuk tetap digunakan pada masa sekarang dan masih dianggap relevan.

Malah, susuk dijadikan jalan yang singkat untuk seseorang itu mencapai keinginannya. Pengamalan susuk pada hakikatnya membawa kemudaratan untuk jangka panjang kepada pemakainya.

Namun, pemakai susuk masih boleh kembali ke jalan yang benar dengan membuangnya mengikut kaedah-kaedah tertentu.

Buku Kaedah Merawat Susuk ini adalah suatu bacaan yang berkualiti dalam mengetahui selok-belok amalan berkaitan susuk. Ia turut memuatkan amalan doa-doa untuk panduan kepada pembaca seperti doa pendinding diri. Semoga segala perkongsian dalam buku ini dapat memberi manfaat kepada pembaca serta menambah pengetahuan tentang amalan susuk.


 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024