Artikel

Bara Cinta Canberra Cipta Pembaharuan

oleh Roziyah pada 16 Jun 2010

Penulis Bara Cinta Canberra cuba mencipta pembaharuan dalam penulisan novelnya kali ini dengan menonjolkan keindahan bahasa dan puisi kepada pembaca.

“Jika dilihat dalam novel Bara Cinta Canberra, saya menggunakan ‘daku’ dan ‘dikau’ dalam dialog dan tidak seperti kebiasaannya. Biasanya penulis akan menggunakan ‘aku’ dan ‘kau’ atau ‘saya’ dan ‘awak’. Sesuatu yang baharu cuba ditonjolkan dalam novel kali ini,” kata beliau.

Beliau juga menyelitkan puisi tulisan karyawan dan sasterawan negara bagi menonjolkan keindahan bahasa dalam penulisannya.

“Saya juga menyelitkan semua keindahan yang wujud di Canberra, Australia termasuklah keindahan tempatnya serta sikap dan kehidupan masyarakat di sana. Anda boleh melihat Canberra melalui karya ini,” jelas beliau.

Ketika diminta menceritakan mengenai gambaran Camberra, beliau menjelaskan Canberra lebih mirip dengan Putrajaya kerana Canberra merupakan bandar pentadbiran sama seperti Putrajaya.

Beliau menyelitkan soal Agama, cinta dan kehidupan dalam novelnya untuk menjadi bimbingan kepada generasi muda masa kini.

Bara Cinta Canberra mengisahkan seorang lelaki bernama Ikmal Hakimi yang mendatangi daerah gumtree, negeri selatan, Canberra kerana kekecewaan yang dialaminya. Ikmal cuba mencari cinta yang benar, yang sahih, cinta Tuhan.

Di Canberra cinta hamba telah datang menyapa. Antara Nia Suraya, gadis diplomat yang pernah melukakannya, atau Melissa, perawan manis yang menumpang kasih, siapa yang menang?

“Carilah cinta Tuhan, nescaya kemudiannya kamu akan bertemu dengan cinta hamba,” senyum Ilham menuturkan kata-kata ajaib dari Bara Cinta Canberra.

Beliau dalam pada itu berharap Bara Cinta Canberra akan menjadi hadiah kecil untuk pembaca PTS.

Bara Cinta Canberra yang diterbitkan oleh PTS Litera Sdn. Bhd boleh anda perolehi dengan membeli secara online di bookcafe.com.my

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024