Artikel

Benarkah Semua Asrama Ada Hantu?

oleh Izzati Nadia Zi pada 26 May 2016

Pengalaman tinggal di asrama adalah sebuah pengalaman yang sukar dilupakan. Mana mungkin kita dapat memadam segala memori berkaitan sekolah dan rakan-rakan kita.

Lebih menyeronokkan apabila segala kenangan manis, pahit, suka, duka, dan seram diharungi bersama di asrama tempat kita belajar.

Siapakah di antara anda yang pernah tinggal di asrama? Saya pernah tinggal di asrama selama dua tahun. Di sebuah sekolah yang terkenal di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur.

Hidup di asrama banyak mengajar kita pelbagai benda yang perlu diharungi sendirian. Konflik di antara diri sendiri, rakan-rakan, junior, dan senior.

Oh, tak lupa juga konflik di antara makhluk-makhluk halus atau lebih mesra dikenali sebagai hantu.

Tidak kiralah anda menetap di asrama mana, di kawasan pedalaman, mahupun di tengah bandar raya, perkataan hantu adalah sinonim dengan semua pelajar asrama.

Malah, yang lebih menariknya apabila anda yang mengalami pertembungan bersama makhluk halus sendiri.

Jikalau anda tidak pernah mengalami situasi tersebut, pada pendapat saya, anda kehilangan satu pengalaman berharga yang boleh dijadikan kenangan ketika berada di asrama.

Untuk pengetahuan anda, saya juga pernah mengalami pengalaman seram ini secara beberapa kali.

Yang paling menyeramkan apabila saya tidur lewat pada masa itu, lantas ada seorang ‘nenek’ menegur saya, “ Eh, belum tidur lagi ke?”

Jadi, kepada mereka yang tidak pernah merasai bagaimana kehidupan di asrama, ditambah pula dengan gangguan-gangguan mistik seperti ini, saya mengesyorkan anda untuk membaca buku karya Olvidado Shakur, 5 Kisah Seram di Asrama.

Saya tidak pasti sama ada kisah-kisah yang ditulis oleh penulis ini berdasarkan kisah benar dan pengalaman beliau sendiri mahupun bukan. Namun begitu, kisah-kisah seperti ini pernah juga berlaku di realiti sebenar.

5 Kisah Seram di Asrama adalah koleksi keempat Olvidado Shakur. Jikalau anda pernah membaca koleksi beliau yang terdahulu, skala keseraman buku ini semakin lama semakin meningkat.

Buku kali ini kurang unsur-unsur humor berbanding buku-buku yang lain. Selain itu, seperti yang dijanjikan oleh Olvidado Shakur, beliau tidak akan membuat pengakhiran cerita seram ini dengan gaya klise.

Memang diakui, beliau berjaya membuat saya turut tertanya-tanya apakah kesudahan buku ini.

Jikalau anda merasakan buku ini seperti tahyul dan boleh menakutkan para pembaca, ingin saya perkatakan bahawa segala cerita yang terkandung dalam buku ini adalah rekaan dan mungkin berdasarkan pengalaman sendiri.

Saya pasti ada yang kurang bersetuju dengan buku-buku seperti ini. Namun, apa yang cuba disampaikan oleh penulis adalah nilai-nilai moral berdasarkan permasalahan yang sering berlaku dalam kalangan pelajar dan remaja kita.

Tajuk-tajuk yang terkandung dalam buku ini adalah Dorm Aku Berhantu, Temankan Kawan ke Tandas, Suria Tidak Takut Hantu, Jangan Tidur Lewat, dan Saya Datang. Kisah terakhir ini antara kisah yang saya gemari.

Oh, satu pesanan saya, jangan baca buku ini pada waktu malam. Bukan untuk menakutkan ataupun sekadar suka-suka. Saya khuatir nanti para pembaca tidur lewat dan akan bertembung dengan ‘nenek’ yang pernah menegur saya suatu ketika dahulu.

“Satu dah tidur, dua dah tidur, tiga dah tidur, empat… eh, belum tidur lagi ke?”

Selamat membaca!


 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024