Artikel

Biografi Muhammad 2011: Saat Kematian Rasul yang Terakhir (Siri3)

oleh Hairul Faizal Adli pada 13 Feb 2012

Muhammad diberi pilihan untuk hidup kekal di dunia atau meninggal dunia seperti manusia biasa. Hal ini dijelaskan dalam dialog baginda dengan sahabatnya, Abu Muwaihibah semasa baginda dan Abu Muwaihibah menziarahi perkuburan Baqi’.

“Wahai Abu Muwaihibah. Aku diberi pilihan antara diserahkan kepadaku segala kekayaan dunia semuanya dan aku kekal di dunia kemudian aku masuk syurga. Ataupun aku bertemu dengan Tuhanku dan kemudian aku masuk syurga.”

Abu Muwaihibah berkata, “Wahai Muhammad. Pilihlah kami.”

Muhammad berkata, “Tidak, wahai Abu Muwaihibah. Aku memilih bertemu dengan Tuhanku dan syurga.” Kecintaan kepada Allah memenuhi hati Muhammad.

Tidak lama kemudian, Muhammad diserang sakit kepala yang amat sangat. Kesakitan para nabi adalah seperti kesakitan dua orang biasa.

Kemudian Muhammad diserang demam panas yang sangat kuat. Menurut Abu Said al-Khudri, sahabat yang meletakkan tangannya ke dahi Muhammad, “Aku tidak tahan meletakkan tanganku di atas dahi Muhammad kerana terlalu panas. Belum pernah aku melihat orang demam panas sampai begitu.”

Pada pagi 12 Rabiulawal, sakit Muhammad semakin kuat. Peluh keluar mencurah-curah dari kepala baginda. Aisyah menyapu muka baginda dengan air untuk meredakan kesakitan baginda. Muhammad berkata, “Wahai Aisyah. Sesungguhnya mati itu mempunyai sakarat (kesakitan).”

Pada saat kematiannya, Muhammad mengulang-ulang satu kata-kata, seolah-olah baginda diberi pilihan lagi untuk kali terakhir, sama ada memilih hidup kekal di dunia atau segera bertemu dengan Allah. Muhammad berkata, “Bahkan teman sejati di Syurga. Bahkan teman sejati di syurga.”

Aisyah berkata, “Ketika Muhammad mengulang-ulang kata-kata itu, kepalanya terlentok ke bahuku. Pandangannya mendongak ke langit. Roh Muhammad sudah keluar dari jasadnya untuk bertemu dengan Allah. Aku meletakkan kepada Muhammad ke bantal, lalu aku menangis. Semua ahli keluarga Muhammad yang perempuan juga menangis. Tangisan kami dapat didengari sehingga ke luar rumah.”

Apabila tiba detik Muhammad menghembuskan nafas terakhirnya, seluruh alam seolah-olah terpaku, masa terhenti, dan suasana menjadi hening. Saat kematian Muhammad ini diceritakan dengan lebih terperinci dalam buku Biografi Muhammad Bin Abdullah, buku sirah yang terbaik untuk mengenali Rasulullah.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024