Artikel

#BOOKTOBER Bulan Kegembiraan Untuk Semua Pembaca

oleh Asri Yussof pada 09 Oct 2017

Diam tak diam kita sudah sampai ke kuater 3 bagi tahun 2017. Begitu cepat masa berlalu. Selalunya kita akan ingat kepada kempen Movember yang dilakukan pada bulan november setiap tahun.

Movember adalah acara tahunan untuk menyimpan janggut dan misai tanpa bercukur selama sebulah. Kempen ini lahir dari kesedaran tentang masalah kesihatan lelaki, seperti kanser prostat, kanser testis dan bunuh diri lelaki.

Tapi hari ini kita bukan nak bercakap mengenainya Movember, tetapi ada sesuatu yang sedang berlaku sekarang pada bulan oktober, iaitu #BOOKTOBER. Hasil kajian dari Unit Penyelidikan Perbadanan Kota Buku, pada tahun 2014, rakyat Malaysia dikatakan membaca secara puratanya sebanyak 15 buah buku setahun.

#BOOKTOBER adalah bulan untuk meraikan semua pembaca-pembaca buku di Malaysia yang aktif. Kita sama-sama meraikan bulan ini dengan gambar-gambar buku yang sedang kita baca untuk dimuatnaik ke media sosial dengan hastag #BOOKTOBER.

Booktober PTS

Kempen #BOOKTOBER yang dicetuskan oleh PTS Media Group ini lahir dari kesedaran untuk meningkatkan minat membaca dikalangan rakyat Malaysia dan untuk lebih aktif berkongsi pandangan dan ulasan dari buku-buku yang sudah mereka baca.

PTS akan memilih dari mana-mana posting yang menarik untuk dipilih dan diberikan hadiah buku sebagai tanda penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang telah menggerakkan industri buku negara.

Jika kita bandingkan 9 tahun kebelakang, iaitu pada tahun 2005, kajian menunjukkan purata kadar membaca rakyat Malaysia hanyalah dua buah buku setahun. Walaupun begitu, ia tetap meningkat jika dibandingkan dengan kajian pada tahun 1984 yang diketuai oleh Allahyarham Prof Atan Long, rakyat Malaysia hanya membaca dua muka surat sahaja setahun. Ini menunjukkan ada pergerakan yang berlaku.

Booktober PTS

Sesuai dengan pergerakan masa, wacana yang telah terbangun, jumlah penerbitan buku yang makin bertambah, kepelbagaian genre buku yang dipersembahkan, kemunculan penulis-penulis baru, keyakinan penulis-penulis lama, mari sama-sama kita meraikan #BOOKTOBER dengan gembira dan positif. Anda semua adalah penggerak industri buku negara!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024