Artikel

Cara Mudah Untuk Menjadikan Anak Anda Pelajar Terbaik Hari Ini: The Best Student of The Day

oleh Khairul Aswad Khairul Anuar pada 05 Aug 2015

“Mama, hari ini keputusan peperiksaan keluar,” kata Ashraf dengan wajah berseri-seri.

Dia baru pulang daripada sekolah untuk mengambil keputusan peperiksaan UPSR. Dia tidak sabar hendak berkongsi berita gembira itu dengan keluarganya.

Sebelum ini, dia jarang-jarang lulus, apatah lagi hendak mendapat A. Tapi, dalam peperiksaan UPSR tempoh hari, keajaiban berlaku.

“Oh, ya? Ashraf dapat berapa A?” soal mama tertanya-tanya.

“3A dan 2B, mama,” Ashraf tersenyum melebar sampai ke telinga. Slip keputusan peperiksaannya sengaja dikibar-kibarkan di hadapan mama.

“3A saja? Kenapa tak dapat 5A?” Mama bertanya dengan riak yang agak kecewa.

Mendengar jawapan dan melihat reaksi mama, maka senyuman Ashraf pun semakin lama semakin menghilang. Keputusan itu belum boleh menggembirakan mama ke?

*********

Anda pernah berada dalam situasi dialog di atas? Jika ya, anda tak perlu risau. Anda bukan berseorangan. Sudah pasti lebih ramai anak-anak sekarang mempunyai kisah yang hampir sama.

Persoalannya, adakah itu menandakan anda bukanlah seorang pelajar yang baik kerana tidak mendapat semua A? Atau adakah anda pernah memberi reaksi yang sama kepada anak anda?

Jika ya, soal diri anda… adakah anak anda itu tidak cukup hebat untuk menjadi, The Best Student?

Kali ini PTS menyediakan sebuah bacaan yang mampu memberi seribu kesan pada mereka yang membaca. Walaupun buku ini khasnya sesuai untuk mereka yang bergelar ibu dan bapa,

tetapi golongan anak-anak juga perlu mendapatkan buku ini. Mengapa?

Sistem pendidikan di negara kita terlampau mengkhususkan kepada peperiksaan semata-mata. Jadi, tidak hairanlah jika banyak ‘mama kepada Ashraf’ dilahirkan dalam sebuah institusi keluarga.

Ibu-bapa berlumba-lumba memastikan anak mereka sentiasa mendahului orang lain dalam kelas. Seawal tiga tahun anak-anak sudah dihantar ke kelas tuisyen untuk belajar.

Tapi adakah anda pasti itu satu tindakan yang bijak?

Di dalam buku ini, terdapat dua jenis pembacaan yang anda akan jumpa. Yang pertama adalah kisah bagaimana penulis yang duduk di England menghantar anaknya ke tadika.

Di sana, seawal umur empat tahun, anak-anak diwajibkan untuk ke situ dan daripada kisah inilah penulis merungkai betapa berlainannya sistem pendidikan negara itu yang nampaknya seperti lebih baik daripada negara kita.

Tetapi di Malaysia, mereka yang berumur tujuh tahun barulah diwajibkan untuk ke sekolah. Apa yang membezakannya?

Selain itu, kisah penulis ini diselang-selikan beberapa cerpen yang boleh menyentuh hati pembaca. Kisahnya masih sekitar pendidikan kepada anak-anak.

Bagaimana bukan hanya dengan silibus pelajaran buku teks sahaja anak-anak boleh menjadi seorang yang terbaik dalam hidupnya.

Ada lagi perkara yang lebih penting untuk anak-anak pelajari bagi bergelar The Best Student of The Day.

Jadi, dapatkanlah buku ini segera sebelum terlambat. Benar, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Tapi itu tidak bermakna anda boleh mendera anak-anak anda dengan lambakan buku seawal usia kanak-kanaknya.

Anda cuba kenang kembali zaman kanak-kanak anda yang nakal sehingga memanjat pokok rambutan, bermain di sawah dan sungai dan berlari-lari di dalam rumah bermain police entry.

Adakah semua itu membuatkan anda tidak menjadi seorang yang baik dan berguna, sebagaimana anda di hari sekarang, di saat anda membaca reviu atau buku ini?

Janganlah biarkan kisah Ashraf dan mamanya terjadi. Kejayaan itu perlu diukur dengan usahanya. Jika sebelum ini anak anda tidak pernah lulus dan akhirnya berjaya mendapat sehingga 3A,

bukankah itu sudah membuktikan anak anda sudah menjadi yang terbaik? Jangan lupa, mereka berusaha untuk menjadi The Best Student of The Day untuk anda juga.


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024