Artikel

Ceritera Wartawan Al-Quran: Berjalan…Melihat…Mentafsir.

oleh Muhammad Syarafuddin Sulaiman pada 27 Nov 2014

Sekiranya wartawan normalnya mengejar-ngejar berita manusia, maka wartawan Al-Quran mengejar-ngejar berita Tuhan. Sekiranya wartawan biasanya mengejar-ngejar berita daripada sumber-sumber berbeza, maka wartawan Al-Quran sangatlah tidak serupa. Wartawan Al-Quran mengejar berita daripada satu sumber yang sama.

Sumber unik yang sekalipun hanya satu, namun daripadanya boleh lahir 1001 bahan, 1001 pengajaran, dan 1001 rasa. Lebih unik, sumber ini bukan sahaja disahkan benarnya, bahkan terjamin akan kekal benar sampai bila-bila. Ini pastinya berbeza dengan sumber-sumber yang biasa….

Sumber yang kita kenali sebagai Al-Quran gelarnya.

Berjalan… Melihat… Mentafsir adalah himpunan ‘laporan’ wartawan Al-Quran bernama Abdullah Bukhari. Seperti wartawan-wartawan lain yang tidak lelah mencari berita paling sensasi, wartawan yang ini juga tidak mudah menyerah.

Dengan laporan-laporan seperti Ditegur Allah Kerana Menipu Selama Tujuh Minit, Bajet Allah vs. Bajet Manusia, MH-17 Misteri Mati, Raptai Dunia dan Raptai Akhirat, dan Tidak Salah Wanita Meminang Lelaki, Abdullah Bukhari menonjolkan kisah-kisah sensasi yang menarik minat kita. Tajuk-tajuk yang tidak kalah dengan tajuk utama tabloid.

Dan itu cuma baru sebahagian sahaja.

Sebahagian daripada tajuk-tajuk yang diketengahkan. Sensasinya juga cuma bahagian minimum sahaja daripada pakej yang ditawarkan. 

Mahalnya wartawan Al-Quran adalah kerana dia membawa perkhabaran yang bukan sahaja releven untuk kita tahu pada hari ini.

Lebih daripada itu, wartawan ini membawa maklumat daripada Tuhan. Berita yang tidak diketahui oleh yang lain, kecuali mereka juga berhubung dengan Dia. Kisah yang terpakai bukan hanya untuk sehari. 

Paling mahal, maklumat Tuhan berbentuk cerita yang belum terjadi. 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024