Artikel

Cerpen: Cawangan keempat

oleh Roziyah pada 28 Dec 2011

Cerpen dipetik daripada blog http://kalamkhalifah.com/ dan ditulis oleh Tuan Zahiruddin Zabidi

 

“KAU pernah dengar cerita seorang tua, anaknya dengan seekor keldai?” soal Rabiah kepada rakan sebiliknya, Rozita.

Rozita mengerutkan wajahnya sambil jemari kanannya menggaru kepala yang tidak gatal, seakan sedang berfikir dalam. “Aku rasa macam pernah dengar, tapi sudah lama dan sudah lupa mungkin.”

Segera pula dia menambah, “Namun apakah kerelevanan cerita itu dengan kes kau ini?”

Rabiah, si gadis manis tahun akhir Fakulti Ilmu Wahyu pengkhususan Fiqh dan Usul Fiqh yang berperawakan sederhana itu tersenyum kelat. Hebat amat dugaan yang menimpa dirinya atas keputusan yang sudah dibuat itu.

Keputusan yang diambil bukan sahaja mengejutkan ibu bapanya, rakan-rakan sekampus malah tidak semena-mena semua media cetak dan eletronik di tanah tumpah darahnya juga seakan sentiasa mengejar dirinya siang dan malam bagi dijadikan bahan berita. Peluang ini juga dimanipulasi oleh sebuah akhbar harian yang bersifat separa lucah dan sangat dahagakan cerita-cerita semi-lucah sebagai tajuk utama mereka.

Mahu dikatakan dia membuat satu dosa besar, dengan ilmu pengajian malah pengkhususan dalam syariah pastinya dia lebih arif mengenai keputusan yang diambil. Namun melihat kepada tajuk-tajuk akhbar sehari dua ini, dia semacam lebih jahat dan teruk daripada para gadis yang membunuh zuriat luar kandung mereka sendiri. Sedangkan keputusan beliau tidak pun bercanggah dengan undang-undang dalam negara mahupun undang-undang syariah.

Rozita yang biasanya becok dan banyak celotehnya hanya memerhati sahaja sahabat biliknya itu larut atau hanyut dalam lamunan ilham dan wahyu. Dia kemudian menegur lembut, tidak sebecok biasa kerana sedar tekanan dan bebanan yang ditanggung oleh sahabatnya itu. Apatah pula peperiksaan terakhir bagi semester terakhir akan bermula minggu hadapan dan kini mereka dalam minggu ulang kaji.

“Kau sudah fikir masak-masak, kawan?” Soal Rozita lagi. Mahu memastikan apakah yang sebenarnya galau yang tersedak di dada Rabiah.

Tanpa menjawab soalan, Rabiah terus berceritera, “Kau tahu? Orang tua, anaknya dan keldai milik mereka itu bermusafir pada suatu hari….”

Rozita diam, memasang telinga sekalipun dia tahu kata-kata itu bukan jawapan kepada soalannya sebentar tadi.

Angin malam pula berpuput gemalai menerpa wajah dan badan mereka yang sedang menyaksikan langit terbentang dengan bebintang menjadi riasannya. Masing-masing mendongak dan memacu penglihatan kepada jendela dunia itu lantas diraih damai di hati. Tenang disirami cahaya rembulan yang mengambang.

“Sehinggalah sampai di sebuah kampung dan mereka terdengar orang kampung berkata, ‘Lihatlah lelaki itu, sungguh zalim terhadap anaknya. Sedangkan dia punya keldai yang sihat, akan tetapi disuruh anaknya itu berjalan sahaja.’ Mendengar kata-kata itu si ayah menyuruh anaknya menunggang keldai itu selepas memikirkan kebenaran kata-kata tersebut. Perjalanan diteruskan.”

Rozita khusyuk mendengar, matanya dari tadi tidak berkedip menatap wajah sahabatnya itu. Kadang-kadang terdengar bunyi tangannya menampar-nampar bahagian tertentu tubuh kerana reaktif terhadap serangan nyamuk.

Namun terus ditekuni ceritera sahabatnya yang kelihatan begitu rawan, tanda hati yang begitu walang.

“Sesampai mereka di sebuah kampung lagi, tiba-tiba ada pula suara-suara yang mengkritik si anak, mereka berkata, ‘alangkah biadapnya si anak itu, dia yang masih muda gagah menaiki sang keldai lantas membiarkan si ayah yang sudah pikun itu berjalan kaki, apakah dunia ini sudah menghampiri kiamat!’ Kedengaran orang ramai bersetuju dengan pendapat si fulan itu. Ayah si budak lelaki itu berfikir, ada benarnya juga kata mereka. Lantas diarahkan si anak itu turun lalu dia menunggang keldai manakala anaknya disuruh berjalan kaki di sampingnya. Si anak yang taat tentunya tidak membantah permintaan ayahnya itu. Perjalanan diteruskan….”

Sekali lagi Rabiah meluncurkan pandang ke langit menghampar malam, entah apa yang dinikmatinya dari sana. Pada mata Rozita, selain bebintang dan gemawan awan yang melitupi bulan ngambang, tiada lagi maksud yang terisi.

Rozita semakin ralit, sekalipun matanya sudah terasa pedih dan berat menahan kantuk, namun digagahkan juga bagi mendengar ceritera daripada sahabat baiknya itu. Al-maklum dari semester satu mereka sudah bersama, dan kini mereka berdua sudah berada pada semester terakhir, apabila masing-masing sudah graduasi, entahkan jumpa lagi entahkan tidak. Tambah-tambah si Rabiah juga bakal….

Ah!

Gugup Rozita disergah Rabiah. “Kau mahu dengar tidak cerita aku ini!?”

“Ya… ya, aku dengar… aku dengar….” Rozita menekuni Rabiah semula selepas menerawang seketika, sehingga terlupa subjek bicara pada ketika ini adalah Rabiah. Benar dia lupa, bukan sengaja.

“Sampai di sebuah kampung…,” sambung Rabiah, “Tiba-tiba ada pula satu suara yang berkata, ‘Alangkah ruginya dua beranak itu, sepatutnya keldai mereka yang masih muda dan gagah itu ditunggangi bersama, bukan salah seorang sahaja. Ini adalah perkara yang merugikan dan meletihkan mereka juga.’ Orang itu berlalu dengan gelak yang terbahak-bahak. Kau tahu apa yang berlaku kemudian?” Tanya Rabiah kepada Rozita.

Rozita hanya menggeleng, dia tahu emosi sahabatnya tidak stabil saat ini, dia dirempuh oleh badai ujian akibat sebuah keputusan yang mencarikkan adat kelaziman bagi seorang anak gadis perawan yang bakal graduasi tidak lama lagi.

Rabiah tersenyum kelat, “Kedua-kedua mereka kemudian menunggang keldai itu bersama-sama dan mereka kemudia lewat di sebuah kampung dan didapati orang kampung tercengang-cengang melihat kelakuan mereka yang menunggang keldai itu secara bersama. Tidak semena-mena mereka dicemuh dan dikutuk kerana menyeksa haiwan dengan tuduhan menzalimi haiwan tersebut.”

“Habis kalau semua yang mereka buat tidak betul, apakah yang betulnya!?” Soal Rozita sedikit menjerit terasa terjerat dengan cerita yang disampaikan Rabiah.

Rabiah senyum menyumbing. Jelas dampak dua lesung pipit dalam menghias wajah ayu yang tersimbah nur rembulan itu.

“Tekalah?” Rabiah memprovok.

“Ah, cerita kau, engkaulah yang habiskan….”

“Kerana berasa tertekan dengan pandangan setiap orang yang mereka jumpa, dan setiap daripada mereka pula saling bercanggahan dalam member pandangan maka si ayah kepada budak itu pun mengambil keputusannya sendiri. Katanya kepada si anak, ‘Kali ini kita tidak boleh lagi mendengar kata orang, kita buat keputusan sendiri, lagipun keldai ini adalah keldai kita dan bukan mereka. Perjalanan ini juga adalah perjalanan kita dan bukan mereka… mari wahai anakku, ayuh kita usung keldai ini sama-sama!” Rabiah cuba menghabiskan ceritanya dengan penuh emosi dan dramatik… seraya terdengar kekehan dan terbit daripada Rozita, berjejehan air matanya.

***

Suasana di ruang tamu tegang, Haji Murad kelihatan sedikit sugul namun tetap berusaha menampakkan wajah yang tenang, seakan itik yang sedang berenang. Dari permukaan air kelihatan sangat tenang dan bersahaja, namun hakikat di bawah air kakinya sangat kalut berkayuh bagi memastikan dirinya terus terapung dan dapat bergerak ke sana ke mari.

Hajah Roziah pula lebih selesa mendiamkan diri, tidak tahu apakah yang perlu diperkatakan lagi. Lagipun dia tidak alim sangat dalam urusan agama apatah lagi bersangkutan secara jelas dengan masalah fiqh. Biarkan sahaja suaminya, bekas imam kampung mereka menguruskannya dengan segala ilmu dan kebijaksanaannya.

Haji Murad bersuara dalam, berat butir bicaranya. “Rabiah, anakku… apakah kamu sudah memikirkan hal ini sedalam-dalamnya? Ini bukanlah urusan yang boleh diringan-ringankan. Ianya berkaitan hukum-hakam agama.”

Terhenti di situ. Haji Murad cuba mengumpul tenaga. Dia sendiri tidak faham rasa apa yang sedang bergelodak dalam jiwanya. Ilmu yang dimilikinya juga gagal mewaraskan situasi tersebut. Kalau yang sedang berada di hadapannya saat itu bukan anaknya sendiri. Insya-Allah, mudah sedikit bagi diselesaikan.

“Ayah… ibu… saya mohon restu daripada kalian. Saya sedar dan tahu redha Allah ada pada redha kalian. Tidak banyak yang saya minta sepanjang hidup saya sebagai anak kalian. Saya juga amat bersyukur kerana Allah mentakdirkan saya menjadi anak kalian, namun urusan ini adalah keputusan yang saya buat selepas pertimbangan akal, ilmu dan petunjuk daripada Allah. Saya yakin ayah dan ibu faham akan maksud saya…,” Rabiah tunduk saat kata-kata tersebut dilafazkan. Bukan malu, bukan juga rasa bersalah. Namun rasa hormat kepada kedua orang tuanya yang tinggi. Dek kerana tarbiah mereka, Rabiah berani mengambil keputusan yang seberani ini.

Yang halal itu jelas, yang haram itu jelas!

Haji Murad mengelus-ngelus janggut yang sudah mula memutih, serban yang dipakai kemas tersemat di kelapa. Dia masih berbaju Melayu berkain sarung saat itu kerana baru kembali dari surau menyampaikan kuliah Magrib dan sembahyang Isyak berjemaah.

Pandangannya terkalih kepada Hajah Roziah, isterinya yang setia, tidak berbelah bahagi. Selama jampir 30 tahun mereka bermadu kasih tanpa sebarang masaalah. Sesekali diusik ombak, alah bisa tegal biasa. Mereka tahu tujuan hidup adalah menuju kekal di baqa.

Rabiah satu-satunya anak mereka. Harapan tunggal manikam kalbu kedua mereka. Mereka sentiasa memastikan yang terbaik untuk Rabiah.

Rabiah kemudian berkata lembut, “Ayah… ibu… saya tahu persetujuan dan keredhaan ayah dan ibu adalah paling penting dalam urusan ini. Saya juga maklum, dari semenjak saya sudah pandai mendengar ayah sudah mendendangkan nasihat bersusur galur kepada hadis Rasulullah yang memberitahu redha Allah itu ada pada kedua ibu bapa. Dan tidak terdetik sepicing pun niat di hati bagi membelakangi ayah dan ibu dalam urusan ini. Justeru saya minta redha dan kebenaran….”

Rabiah masih bertekur wajah.

 

Baca lanjut di http://kalamkhalifah.com/. 

Penulis adalah editor di PTS Islamika Sdn Bhd. Beliau juga penulis buku Srikandi Islam dan novel islami di PTS. 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024