Cinta yang Tidak Terungkap Nan Terlewat: Sebuah Lagi Karya Agung Buya Hamka

oleh Noor Hidaya Arshad pada 28 Jul 2015

Sebuah ceritera cinta yang tidak kesampaian. Karya agung Buya HAMKA singkatan daripada Haji Abdul Malik bin Abdul Karim.

Sesiapa yang pernah mengalami fasa mencintai seseorang akan sangat terkesan dengannya. Kesannya bukan sahaja di fikiran tetapi jauh menyelam ke dalam lubuh hati walaupun karya ini dihasilkan lebih 70 tahun yang lalu.

Kisah ini berkisar tentang kasih cinta antara dua insan yang sangat menjaga batas agama dan pergaulan.Teraju utamanya, Hamid, susuk lelaki yang begitu ideal kerana sifatnya yang sederhana tetapi mempunyai prinsip yang jitu juga Zainab, wanita golongan hartawan yang sangat menjaga adab.

Perasaan malu dan sangat merendah diri menyebabkan perasaan mereka tidak terluah dan hanya tersimpan dalam hati masing-masing.

Karya dengan ketebalan 96 mukasurat ini adalah sebuah cerita cinta sederhana. Tiada melankolia dan tiada perkara sia-sia.

Jalan ceritanya mengajar kita tentang akidah sebagai Muslim yang sebenar. Ia juga mengajar kita tentang pentingnya menjaga hubungan dengan orang yang lebih dewasa dan mengorbankan apa yang dirasai demi kepentingan orang yang dihormati.

Cinta di dalam karya ini tidak didasari oleh nafsu duniawi tetapi mereka meletakkan agama sebagai tunjang cinta mereka.

Oleh kerana mereka manusia biasa, terbatasnya hubungan dengan jarak yang jauh serta rasa cinta yang tidak kesampaian menyebabkan mereka sangat derita.

Ini memberi gambaran bahawa keberanian melafaz cinta perlu tetapi berbatas, agar hati menjadi tenang tanpa mengira apa keputusannya, diterima atau ditolak. Mencuba itu penting.

Ia sebuah novel yang sangat bagus. Bait-bait ayat di dalamnya begitu bermakna serta dapat diambil manfaat.

Penyampaian dalam Bahasa Indonesia masih dikekalkan agar pembaca merasa lebih terkait dengan jalan ceritanya yang berlatarbelakangkan masyarakat Indonesia.