Artikel

Cipta Potensi Diri: Aku Mahu Cari Keberanian

oleh Rasmawati Abdul Muin pada 24 Sep 2013

Meskipun Ahmad Badwi adalah pelajar bijak, namun disebabkan paras rupanya yang berjerawat dan berpenampilan skema membuatkan dia dicemuh oleh ahli-ahli kumpulan The Wannabes.

Paling teruk, dia diberi gelaran ‘Hantu Kum Kum’ oleh Diana, salah seorang ahli kumpulan The Wannabes. Disebabkan rasa tercabar, Ahmad Badwi nekad untuk berubah.

Dia menyemai keberanian dengan menyertai persatuan Kadet Polis.

Di samping itu, dia turut mempelajari cara-cara penjagaan muka dari kakaknya. Berkat usaha dan kerajinan membuat penjagaan muka, sedikit demi sedikit, jerawat di wajahnya semakin berkurangan berbanding sebelum ini.

Tubuh badannya yang dahulu kurus juga kini sudah semakin berisi dan berbadan sasa. Ini adalah hasil latihan dan kawad kaki yang disertai melalui persatuan kadet polis.

Bagi memastikan Umie Aidah menarik diri daripada program pertukaran pelajarm ke New York, Fasha menghadiahkan Umie Aidah sebuah buku nota jenama LV dan segugus rantai kunci cetak rompak.

Pada awalnya, Umie Aidah tidak menyedari hadiah-hadiah berkenaan adalah cetak rompak sehinggalah dia dimaklumkan oleh salah seorang pengawas dari Sekolah Zara Damansara ketika mengikuti seminar pengawas peringkat daerah.

Apabila mengetahui hal berkenaan, hati Umie Aidah berasa sangat marah dan malu.

Sejak itu, Umie Aidah nekad bagi menunjukkan keberaniannya sebagai penolong pengawas sekolah yang tidak memilih kasta dalam menghukum pelajar yang melanggar disiplin sekolah.

Syarifah Aliyah, seorang pelajar pintar dan menjadi harapan Sekolah Sri Bangsar dalam bidang akademik. Namun, Syarifah Aliyah mempunyai kekurangan yang sangat ketara, iaitu tidak boleh bercakap di hadapan orang.

Situasi ini sebenarnya sudah berlaku sejak Syarifah Aliyah kecil lagi. Ketika kecil, dia pernah ditertawakan kerana giginya yang jarang dan sejak itu, dia sukar bagi membuka mulut.

Perwatakannya sangat berbeza dengan kakak kembarnya, Syarifah Animah yang banyak cakap. Meskipun dibawa berjumpa dengan guru kaunseling, Syarifah Aliyah tetap begitu.

Akhirnya, guru kaunseling iaitu Cikgu Aini bertindak memasukkan Syarifah Aliyah sebagai wakil sekolah dalam pertandingan debat sempena Hari Kadet Polis sekolah peringkat daerah.

Syarifah Aliyah tidak bersetuju, tetapi Cikgu Aini tetap tegas dengan keputusannya membuatkan Syarifah Aliyah terpaksa akur. Syarifah Aliyah berlatih bercakap di hadapan cermin, namun dia tetap sukar untuk bersuara.

Ketika hari pertandingan, dengan tanpa disangka-sangka, Syarifah Aliyah yang terkenal kerana tidak pernah bercakap di hadapan orang ramai tiba-tiba sahaja secara sukarela menjadi peserta pertama memberikan hujah.

Semua penonton terkejut dengan tindakannya. Malah hujah yang disampaikannya juga sangat menarik perhatian dan begitu bernas.

Novel ini sangat sesuai untuk bacaan para remaja dan sesiapa sahaja yang mempunyai masalah takut ingin mencuba.

Melalui pembacaan novel ini, pembaca bukan sahaja akan termotivasi, malah membantu membina keberanian serta keyakinan diri. Seseorang yang ingin berjaya, perlu berani untuk berubah dan mencuba sesuatu bagi mengecapi kejayaan.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024