Artikel

Cyberbullying & Online Shaming - Apa Yang Kita Boleh Pelajari Dari Filem The Circle

oleh Asri Yussof pada 10 Aug 2017

Isu kes buli cyber atau dimalukan secara online bukan satu kes yang baru di Malaysia atau di negara-negara lain. Saya tidak mahu membincangkan sejarah dan rentetan kes-kes yang pernah berlaku, tetapi artikel ini akan memfokuskan kepada subjek buli dan kehidupan peribadi yang sudah dicabul.

Kemajuan teknologi yang pesat telah memberi kesan negatif kepada kehidupan peribadi seseorang individu. Walaupun dahulu kita ditanam dengan slogan ‘Pengetahuan di hujung jari’ untuk memperlihatkan kepada awam bahawa internet sesuatu yang positif untuk manusia mencapai tahap maksima dalam ilmu dan pengetahuan. Tetapi ia terjadi yang sebaliknya.

Dalam filem The Circle yang beberapa bulan yang lalu ditayangkan di Malaysia membawa subjek yang sangat penting untuk dibahaskan dalam kehidupan hari ini. Iaitu bagaimana manusia tiada lagi kehidupan peribadi akibat dicabul oleh teknologi media sosial yang ‘ganas’.

emma

Filem yang mempertaruhkan Emma Watson dan Tom Hanks sebagai teraju utama telah membawa suatu naratif yang segar untuk ditonton dan boleh menjadi tajuk perbincangan yang berguna.

Mae Holland (Emma Watson) akhirnya diterima bekerja di sebuah syarikat teknologi dan media sosial yang terkuat di dunia, The Circle. Didorong oleh pengasas syarikat (Tom Hanks), Mae menyertai eksperimen untuk memecahkan tembok privasi, etika dan kebebasan peribadi. Penyertaannya dalam percubaan itu, dan setiap keputusan yang dia buat tidak lama selepas itu menjejaskan kehidupan dan masa depan kawan, keluarga dan kemanusiaannya.

the circle

The Circle memperkenalkan satu media sosial dan kamera yang kecil dan canggih untuk melihat manusia 24 jam secara langsung. Dari pagi hingga malam dan begitulah beberapa hari kehidupan Mae berlangsung dengan jayanya. Tetapi apabila kehidupan peribadi datuk dan neneknya ketika melakukan seks dilihat oleh seluruh dunia, Emma mula tersedar sesuatu terhadap teknologi yang beliau gunakan sekarang.

Kawan lelakinya terbunuh akibat rasa ingin tahu orang lain terhadap kehidupan peribadi beliau dan terbunuh akibat kemalangan ketika memandu dan terhumban dari jambatan untuk lari dari kamera drone yang mengejarnya. Sebabnya ada 2. Pertama kerana, tekanan dan kedua kerana rasa dimalukan.

Rasa dimalukan adalah rasa yang sangat subjektif untuk dilihat. Mungkin bagi sesetengah manusia yang suka memuat naik perkara buruk orang lain, ianya biasa dan untuk suka-suka. Tetapi bagi mereka yang dimalukan, mungkin ada sebahagian yang tidak dapat terima dan membawa kepada satu perasaan yang mungkin boleh sampai kepada kes bunuh diri (terbukti daripada beberapa kes sebelum ini).

Kita belum pasti apa lagi teknologi media sosial akan muncul untuk ‘membogelkan’ manusia. Semoga kita semua menjadi pengguna yang bijak dan tidak mencederakan atau sampai membunuh secara spiritual.

 

Tulisan ini tidak menggambarkan pendirian sebenar PTS Media Group. Kami mengalu-alukan buah fikir yang berbeza dan menarik. Hantar artikel anda ke [email protected] untuk kami terbit secara online di sini.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024