Artikel

Di Sebalik Makna “The Other Side of The Coin”

oleh Muhammad Syarafuddin Sulaiman pada 06 Jul 2015

Kalau tanya kepada sayalah, kekuatan buku ini adalah apabila kita sudi untuk baca dan berhenti sekejap. Bukan baca dan baca dan baca sahaja terus.

Perlu baca sedikit dan kemudian berhenti sekejap.

Ambil masa sekejap untuk reflek. Bahasa canggihnya, muhasabah.

Dan dalam banyak-banyak tulisan dalam buku ini, yang paling saya suka adalah tulisan Aiman kepada dirinya sebelum berkahwin.

Saya rasa tulisan itu sangat baik untuk diperhati satu demi satu ayat. Terasa jujur dan ditulis betul-betul dari hati.

Kemudian dalam banyak-banyak ayat yang ada dalam tulisan itu, yang paling payah saya mahu lupa dan mudah terngiang-ngiang dalam kepala adalah apabila Aiman memberi pesan kepada diri agar menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam perkahwinan.

Bukannya sebagai hujah suami isteri untuk menang dalam perbalahan.

Ini buku bahasa Inggeris, tetapi isinya adalah berkaitan diri dan agama. Bukanlah mahu kata tiada buku bahasa Inggeris lain yang bercakap soal diri dan agama. Menipulah.

Memang ada banyak lagi.

Tetapi ini buku oleh orang Malaysia sendiri. Orang muda Melayu pula. Paling penting, Aiman Azlan dan Ameen Misran, dua penulis ini, bukan bercakap soal benda-benda yang menggunung melangit ataupun elit-elit.

Mereka bercerita perkara yang orang biasa mampu faham dan rasa dekat.

Buku ini bolehlah kita katakan koleksi tulisan-tulisan Aiman dan Ameen. Kebanyakannya catatan peribadi, tetapi ada juga dimuatkan sajak serta puisi.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024