Artikel

Doa Ibu Setanding Doa Nabi untuk Umatnya: Dahsyatnya Doa Ibu- Edisi Kemas Kini

oleh Nurul Aqilah Hairulsam pada 27 Jan 2015

Seseorang bertanya kepada Nabi Muhammad S.A.W, “Ya Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak aku patuhi?” Nabi menjawab, ‘Ibumu’.

Orang itu bertanya lagi, “Selepas itu, siapa pula?” Nabi menjawab, “Ibumu”. Orang itu terus bertanya, “Kemudian, siapa lagi?” buat kali ketiga, Nabi menjawab, “Ibumu”.

Orang itu bertanya lagi, “Kemudian siapa?” Nabi menjawab, “Bapamu”. -Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Setinggi-tinggi darjat seorang anak di mata Allah adalah apabila mereka berbakti kepada kedua-dua orang tuanya.

Berikut adalah hadith terkandung dalam buku ini yang menerangkan betapa wajibnya seorang anak tentang perbuatan mentaati kata-kata ibu mereka.

Pernah sekali Rasulullah S.A.W berkata kepada pengikutnya yang ingin berjihad di jalan Allah, “Tunaikanlah jihad itu dengan berkhidmat kepada ibu kamu, nescaya pintu syurga akan terbuka seluas-luas pandangan”.

Acapkali kita mendengar akan pepatah yang selalu diperkatakan oleh pakar-pakar motivasi di kaca televisyen berkaitan isu ini, ‘Sesungguhnya syurga itu terletak di telapak kaki ibu’.

Disertakan bersama pengisian yang cukup padat dengan ayat-ayat Al-Quran, hadith-hadith yang merungkai kehebatan doa ibu serta akibat memandang remeh-temeh berkenaan tanggungjawab sebagai seorang anak.

Tidak perlu menonton filem-filem Hindi untuk mendapatkan emosi yang meluluhkan hati, buku yang bertajuk Dahsyatnya Doa Ibu ini sudah cukup untuk kita amati betapa mulia darjat para ibu di sisi pandangan Allah.

Jikalau anda masih merasakan samar-samar dengan keajaiban doa para ibu, pengisiannya dapat menerangkan hati anda dan sekaligus dapat membuatkan setiap pembaca insaf dan berfikir sejenak,

“Pernahkah aku mengguriskan hati ibuku selama ini?” Carilah redha ibu kerana dengannya, redha Allah akan melimpah ruah untuk kita di dunia dan akhirat kelak.

 

 

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024