Artikel

Dunia Fantasi: Aku, Kau & Robot

oleh Khairul Aswad Khairul Anuar pada 23 Jun 2015

Bayangkan jika suatu hari nanti, dunia kita ini dikelilingi dengan robot-robot yang canggih. Hampir semua kerja dilakukan oleh robot.

Maka, kita tidak perlu lagi untuk mengemas rumah, membawa kereta, membuat aktiviti berat dan lain-lain. Pasti seronok bukan?

Di zaman sekarang pun kita sudah boleh lihat kemajuan sistem robot, lagi-lagi di negara kita. Pernahkah anda terfikir yang keretapi Putra LRT itu adalah sejenis robot?

Ia beroperasi tanpa pemandu. Jadi, itu adalah robot, bukan?

Dalam karya Aku, kau & Robot ini, peminat tegar komik akan dibawa menyelusuri beberapa cerita yang berkisarkan robot.

Terdapat sembilan buah cerita kesemuanya, di mana setiap satu cerita mempunyai pengajaran yang tersendiri.

Di awal cerita, pembaca dihidangkan dengan pergaduhan dua beradik mengenai ciptaan robot negara mana yang lebih hebat.

Sama ada Jepun ataupun Hollywood. Namun, selesai membaca cerita yang pertama, pembaca akan mendapati yang rupa-rupanya ada sebuah negara yang lebih awal mengisahkan mengenai cerita tentang robot.

Jika anda ingin tahu, anda perlu membacanya.

Komik ini juga unik di mana selain membariskan barisan penkomik yang namanya sudah gah dalam industri komik tanah air, mereka juga berjaya menerapkan nilai-nilai murni dalam hasil karya mereka.

Beberapa cerita mampu membuatkan dada pembaca sebak kerana tersentuh dengan mesej yang cuba disampaikan.

Pembaca juga akan merasa berdebar dalam beberapa babak dek elemen  suspen yang sangat berjaya.

Beberapa orang penkomik wajar dipuji kerana dilihat seperti membuat penyelidikan sendiri kerana berjaya menghasilkan karya yang sarat dengan terma-terma robotik dan sains dalam komik ini.

Komik yang dihasilkan PTS sentiasa memberi nilai tambah lebih kepada pembacanya.

Bukan sahaja boleh dijadikan bahan bacaan santai, tetapi boleh juga dijadikan bahan bacaan untuk menambahkan ilmu. Syabas!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024