Artikel

Generasi Genius Bertaqwa: Menjadi Ulul Albab

oleh Nurul Aqilah Hairulsam pada 25 Mar 2015

Mungkin ramai yang sudah tahu bahawa otak adalah bahagian yang sangat penting untuk manusia melakukan aktiviti seharian. Antara fungsi utama otak adalah membolehkan kita berfikir.

Namun, adakah kita sentiasa memikirkan perkara-perkara yang tidak baik tanpa mengambil kisah tentang baik dan buruk?

 Menerusi buku yang bertajuk Ulul Albab ini mengupas tentang bagaimana seseorang itu mempunyai asas yang kukuh dalam pengajian Al-Quran, ilmu pengetahuan yang luas serta menganggap segala kejadian Allah melalui mata hati dan akal yang tajam serta mengambil iktibar daripada sesuatu kejadian yang berlaku.

Padat dengan pengisian yang mengajak para pembaca untuk berfikir tentang kebaikan khususnya kepada generasi muda ataupun lebih moden dengan panggilan generasi Y dan Z.

Naskhah ini juga menggabungkan rujukan daripada tafsiran Al-Quran dan fakta-fakta sains yang berkait rapat dengan fitrah alam dan kejadian semulajadi.

Penulis terkenal dan pakar perubatan yang tidak asing lagi dengan karya-karya bestseller beliau sebelum ini seperti Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden, The Power of Al-Quran dan Quran Saintifik, turut menekankan betapa pentingnya mendalami ilmu Al-Quran dan Sunnah bagi membentuk pendirian seorang Muslim yang berpegang teguh pada paksi ajaran agama Islam.

Demi memenuhi kehendak generasi muda kini, Dr. Danial bijak menarik perhatian pembaca dengan menggunakan gaya bahasa yang mudah difahami tiap kali membaca fakta-fakta sains dan ayat-ayat Al-Quran mengenai otak kita.

Kehebatan golongan Ulul Albab terserlah kerana mereka bukan sahaja mengaji Al-Quran, tambahan mereka juga mengkaji dan mendalami maksud-maksud ayat Al-Quran.

Insya Allah dengan mudah-Nya Allah buku ini dapat membantu sesiapa sahaja yang ingin berusaha, bertawakal dan beriman di jalan jihad Allah. Semoga perjuangan suci dalam memartabatkan ilmu agama diberkati oleh Allah S.W.T.


 

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024