Hadiah Anak Soleh: Kisah-Kisah Daripada Al-Quran & Hadis #2

oleh Siti Zul Fatihah Zahari pada 18 Nov 2015

Buku yang bertajuk Kisah-Kisah Daripada Al-Quran dan Hadis ini berkisar tentang kisah-kisah nabi yang berlaku bermula dari Nabi Adam a.s sehingga Nabi Muhammad s.a.w.

Laras bahasa dan ayat yang digunakan disusun berdasarkan penggunaan bahasa mengikut silibus sekolah rendah serta disemak oleh guru sekolah.

Terdapat enam buah buku Siri Bedtime Stories kesemuanya. Buku terbitan Pts Junior ini, mempunyai 30 tajuk yang dibahagikan kepada dua bahagian.

Bahagian pertama, bulan Rabiulawal, dan bahagian kedua bulan Rabiulakhir. Apakata, hadiahkan anak anda dengan buku ini, yang sangat sesuai dengan tahap kefahaman kanak-kanak.

Bersesuaian dengan sifatnya sebagai sebuah buku kanak-kanak, maka penulisannya digayakan dengan mudah, ringan dan memberikan fakta asas tentang kisah yang dipaparkan.

Ini pasti menjadi pengalaman dan pembelajaran yang menyeronokkan kerana buku ini dipenuhi dengan ilustrasi yang menarik dan berwarna-warni.

Anda pasti berpuas hati dengan kualiti kertas bewarna yang dipaparkan, serta gambar-gambar berimej kartun yang boleh menggamit perhatian kanak-kanak.

Terdapat juga, potongan ayat-ayat Al-Quran dan hadis dengan terjemahannya sebagai panduan yang berguna kepada kita.

Selain itu, turut diselitkan info-info tambahan yang boleh dijadikan iktibar serta teladan kepada para pembaca.

Dengan gaya penulisannya yang ringkas, mudah difahami, serta penggunaan bahasa yang tidak terlalu meleret, ia memudahkan kanak-kanak untuk mendalaminya.

Luangkan masa, menyertai mereka dengan menghayati beberapa tajuk penting, yang mungkin kita sendiri jarang mengetahuinya.

Dalam tajuk ketujuh, iaitu Mimpi Nabi Yusuf a.s, diceritakan tentang bagaimana baginda bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan yang bersujud kepadanya.

Keesokan harinya, baginda menceritakan mimpi tersebut kepada ayahnya, Nabi Yaakub a.s.

Ayahnya menjelaskan bahawa sebelas bintang adalah saudara-saudaranya, matahari adalah ayahnya dan bulan adalah ibunya.

Semua akan menghormati baginda dan kelak Nabi Yusuf a.s akan menjadi orang besar yang disegani.

Bahkan, Nabi Yaakub berpesan agar perkara tersebut tidak diceritakan kepada saudara-mara baginda.

Jika mereka mengetahui hal ini, pasti mereka akan cuba melakukan sesuatu yang tidak baik kepada baginda.

Buku yang mengadungi 120 halaman ini berkonsepkan Bedtime Stories, iaitu Satu Hari Satu Cerita. Sangat santai untuk dijadikan aktiviti bersama si cilik sebelum tidur.

Ia juga dapat menjadikan mesej yang ingin disampaikan oleh Al-Quran dan hadis dekat dengan kehidupan para pembaca. Nah, tunggu apa lagi? Dapatkan buku ini segera.