Hadis Kelebihan Solat Tarawih Yang Palsu

oleh Huzaifah Abd Jamil pada 28 Jun 2016

Pelbagai hikmah dan kerahsiaan yang berlaku sepanjang beribadah di bulan yang penuh kemuliaan ini. Ramai dalam kalangan kita, apabila sampainya bulan Ramadan, maka berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, walau sekecil apa pun.

Ini diransang lagi dengan kelebihan seperti yang disarankan oleh Nabi Muhammad saw. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Nabi Muhammad saw berkata,

“Apabila masuk sahaja Ramadan, maka pintu-pintu syurga pun dibuka, pintu-pintu jahannam (neraka) ditutup, dan syaitan-syaitan pula dibelenggu.”

Sepanjang bulan Ramadan ini, ibadah sunat yang tidak pernah orang-orang kita tinggalkan adalah solat sunat tarawih.

Dikatakan bahawa, ada sebuah hadis yang panjang, menerangkan tentang ganjaran pada setiap malam bagi sesiapa yang menunaikan solat tarawih.

Pasti anda pernah mendengar, atau membacanya di mana-mana, bukan?

Hadis tersebut yang dikatakan ianya disampaikan oleh Ali bin Abi Talib, jikalau kita mengerjakan solat sunat tarawih pada malam ini (malam 23 Ramadan),

“Allah binakan sebuah bandar di dalam syurga daripada nur.”

Tetapi, adakah hadis ini benar?

Menurut ulasan Ibn Qayyim al-Jauziyyah berdasarkan kitab karangan beliau bertajuk Al-Manar Al-Munif,

Beliau menyenaraikan beberapa kriteria untuk mengenali hadis palsu tanpa melihat dan menyemak kepada sanadnya (susur galur penyampai hadis).

Sekiranya suatu hadis itu menyebut tentang kelebihan dan ganjaran yang terlalu banyak apabila melakukan kebaikan kecil serta dosa dan hukuman yang terlalu berat untuk kesalahan kecil dan ianya tidak pernah disebut oleh Rasulullah, maka ia cenderung kepada hadis palsu.

Kembali kepada hadis popular tentang kelebihan setiap malam solat tarawih ini, ternyata ianya gagal melepasi neraca pertama iaitu tidak thabit atau bukan berada sama ada di peringkat sahih ataupun hasan.

“Aduh, kalau begitu, penat sahajalah kami sibuk melakukan solat sunat tarawih! Akhirnya, tidak peroleh apa-apa pun!”

Jangan berperasaan begitu. Bukankah Nabi SAW menjanjikan keampunan dari Allah terhadap dosa-dosa yang lalu.

“Sesiapa yang mendirikan (menghidupkan) Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, maka diampunkan segala dosanya yang lalu.”

(Hadis direkod oleh Muslim)


Nota Editor: Isi tulisan ini diambil dari buku 40 Hadis Palsu dan Lemah Popular Edisi 2016, yang ditulis oleh Abdul Razak Muthalib. Semoga kita dapat menggalakkan lagi kritikan ilmiah dalam bidang hadis dan menjawab perselisihan faham antara kita secara aman dan harmoni.