Hamka: Fenomena Tokoh Multi-Dimensi

oleh Muhammad Syarafuddin Sulaiman pada 25 Nov 2014

Hamka adalah nama yang terkenal di rantau ini. Beliau bukan saja terkenal di Indonesia malah di Malaysia, Singapura, Brunei, malah di luar Kepulauan Melayu. Hamka diberi gelaran Buya, panggilan masyarakat Minangkabau yang bermaksud ayah ataupun seseorang yang dihormati.

Beliau terkenal sebagai seorang sasterawan, pendakwah, ulama dan aktivis politik.

Memetik beberapa bukti betapa besar serta pelbagai nama dan jasa Hamka, kita lihat gelar yang diberi kepada beliau. Sebagai ulama Minangkabau, Buya Hamka digelar Tuanku Syaikh.

Ini gelaran yang membawa erti ‘ulama besar’. 

Sebagai pejuang kemerdekaan, Buya Hamka mendapat gelaran Pangeran Wiroguno daripada Pemerintah Indonesia. Sebagai ilmuan Islam, Buya Hamka mendapat gelaran Ustaziyah Fakhriyah (Doctor Honoris Causa) daripada Universitas Al-Azhar, Mesir, pada 1959 dan juga anugerah yang sama daripada Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1974.

Uniknya Hamka adalah pada kepelbagaian bakat yang ada pada diri beliau.

Dalam bidang penulisan sahaja, beliau bukan hanya penulis kita-kitab hebat seperti Tafsir Al-Azhar, malahan penulis novel luar biasa seperti Tenggelamnya Kapal Van der Wijck.

Hidup beliau rencam dan penuh ujian. Buya Hamka pernah ditahan selama dua tahun empat bulan disebabkan perbezaan fahaman politik dengan Presiden Suekarno.

Buya Hamka juga pernah menjadi ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI) tetapi kemudiannya meletak jawatan.

Ini apabila beliau dipaksa menarik semula fatwa MUI yang menfatwakan haram hukumnya umat Islam merayakan Krismas.

Dalam novel HAMKA, penulis bestseller Abdul Latip Talib mempersembahkan dengan penuh, hidup tokoh bernama Hamka ini.

Dengan bahasa yang mudah tetapi menarik, kita bersama-sama mengenali Hamka sejak lahirnya, sehinggalah beliau meninggalkan kita.