Artikel

Hari Kedua PBKKL: PBKKL Dirasmi dengan Meriah

oleh Roziyah pada 23 Dec 2010


Pesta Buku Kanak-Kanak Kuala Lumpur sebentar tadi dirasmikan dengan meriah oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Ghafar Mahmood.

Datuk Ghafar Mahmood yang mewakili Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, Datuk Ir. Dr Wea Ka Siong melahirkan rasa gembira dengan penganjuran PBKKL ini.

Beliau yang menyampaikan amanat Datuk Ir. Dr Wea Ka Siong berkata, melalui penganjuran PBKKL ini dapat menggalakkan penghasilan lebih banyak buku kanak-kanak bagi meningkatkan semangat membaca dalam kalangan kanak-kanak.

“Walaupun PBKKL ini kali pertama diadakan, namun kita sudah dapat rasai potensinya. Kerajaan juga komited membantu industri buku di negara ini. Kita juga berharap PBKKL tahun hadapan mendapat kerjasama daripada penerbit antarabangsa dalam usaha kerjasama membeli mendapatkan hak cipta penerbitan bagi buku kanak-kanak,” jelas beliau.

Datuk Ir. Dr Wea Ka Siong berpendapat penerbit tempatan harus berusaha menghasilkan buku kanak-kanak berkualiti agar buku kanak-kanak mendapat pengiktirafan diperingkat kebangsaan dan antarabangsa.
Melalui pameran dan aktiviti yang diadakan oleh penganjur dapat memberi manfaat kepada pengunjung sekaligus memberi maklumat kepada remaja di luar yang aktiviti membaca merupakan sesuatu yang cool dan harus diikut.

Majlis perasmian PBKKL juga dimeriahkan dengan persembahan kanak-kanak cilik yang tampil dengan persembahan puisi moden dan tradisional.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024