Artikel

Hikmah Perjuangan Badiuzzaman Said Nursi di Turki

oleh Ayman Rashdan Wong pada 24 Mar 2017

Semalam, 57 tahun yang lalu (23 Mac 1960), wafatnya seorang alim besar Turki bernama Bediüzzaman Said Nursi. Said Nursi bukan ulama yang sering disebut dan dirujuk oleh orang Malaysia, namun di Turki beliau merupakan tokoh teragung dalam sejarah moden Turki. Beliau merupakan ‘anti-tesis’ kepada Mustafa Kemal Ataturk.

Beliaulah yang berjaya memelihara cahaya Islam dalam masyarakat Turki tatkala diserang rancangan sekularisasi Ataturk. Tanpa perjuangan beliau, tidak mungkin Necmettin Erbakan, Recep Tayyip Erdoğan dan Fethullah Gülen mampu menjayakan perjuangan masing-masing.

erdogan

Said Nursi merupakan seorang Kurdi yang dilahirkan pada tahun 1878 di kampung Nurs, di timur Turki Uthmaniyyah. Pada usia muda Said Nursi telah menunjukkan kepintaran dalam ilmu agama dan mendapat gelaran Bediüzzaman (Keajaiban Zaman).

Beliau bercita-cita mengharmonikan Islam dan Sains melalui pendidikan, dan pada tahun 1908 beliau melawat Istanbul, ibu kota Turki Uthmaniyyah untuk mendapatkan sokongan Khalifah terhadap penubuhan universiti yang dicita-citakan oleh beliau.

Namun, Revolusi ‘Young Turk’ yang berlaku ketika itu telah menundakan hasratnya. Pada 31 Mac 1909, berlaku pula rampasan kuasa oleh ‘Committee of Union and Progress’ (CUP). CUP menuduh Said Nursi berkomplot untuk menggagalkan revolusi. Setelah disabitkan tidak bersalah, beliau kembali ke Kurdistan dan mengajar di Van.

Pada tahun 1914, Perang Dunia Pertama meletus, Turki Uthmaniyyah menyertai perang. Said Nursi turut berjuang mempertahankan tanah airnya daripada serangan Rusia. Beliau menjadi tawanan perang Rusia tetapi berjaya melepaskan diri dan kembali ke Istanbul pada 1918.

Ketika itu Turki berada di ambang kekalahan dan musuh-musuh Turki telah menakluki Istanbul, maka beliau menyertai Perang Kemerdekaan Turki yang dipimpin oleh Mustafa Kemal. Namun, lama-kelamaan, Said Nursi sedar bahawa beliau tidak sehaluan dengan Mustafa Kemal, maka beliau meminta diri dan kembali ke Van.

atartuk

Said Nursi teruskan mengajar di Van. Apabila Mustafa Kemal memansuhkan Khilafah pada 3 Mac 1924, ulama Kurdi bernama Sheikh Said telah mengisytiharkan jihad dan memberontak terhadap Ataturk. Sheikh Said mengajak Said Nursi untuk menyertainya.Said Nursi enggan.

Pemberontakan Sheikh Said gagal dan beliau dibunuh. Walaupun tidak terlibat dengan pemberontakan tersebut, kerajaan tetap membuang Said Nursi dari Van dan menghantar beliau ke Barla.

Ada dua sebab Said Nursi enggan menyertai pemberontakan Sheikh Said.

  1. Beliau melihat pemberontakan akan membuka pintu fitnah yang lebih besar. Ataturk zalim, namun hanya Ataturk sahaja yang mampu menstabilkan Turki ketika itu.
  2. Beliau tidak melihat masalah Turki akan selesai dengan menumbangkan Ataturk. Seorang Ataturk ditumbangkan, 10 orang Ataturk akan bangkit lagi. Punca masalah masyarakat Turki ketika itu ialah krisis intelektual dan spiritual, di mana pemikiran para penguasa dan intelektual telah dikuasai oleh saintisme dan positivisme yang diagung-agungkan sejak zaman pemerintahan CUP.

Kecelaruan pemikiran menyebabkan mereka tidak lagi mampu memahami hakikat, sehingga menimbulkan tanggapan ‘Islam bertentangan dengan kemajuan’. Sekularisasi politik dapat dilaksanakan kerana pandangan dunia umat Turki telah pun berjaya ‘disekularkan’.

Bagi Said Nursi, masalah ini perlu diselesai, dan ia tidak dapat diselesai dengan menegakkan semula Khilafah sekali pun. Jadi, beliau ingin mendidik generasi baru yang mampu membawa kemajuan dan pada masa yang sama berpegang kepada pedoman Kitabullāh. Beliau akan ‘berjihad’ melalui pen.

pen

Di Barla, Said Nursi memulakan perjuangan beliau. Beliau mengarang risalah-risalah kecil yang bernama ‘Risalah Al-Nur’ (Risale-i Nur). Melalui risalah-risalah ini, Said Nursi menerangkan kepada masyarakat Turki mengenai mesej tauhid dalam Al-Qur’ān.

Risalah ini diedarkan oleh murid-muridnya kepada masyarakat. Gerakan ini dikenali sebagai gerakan ‘Nurculuk’.

Pada tahun 1934, Mustafa Kemal meraih kuasa mutlak dan diberi gelaran ‘Ataturk’ (Bapa Orang Turki). Gerakan ‘Nurculuk’ menjadi ancaman kepada kewibawaan Ataturk, maka pihak penguasa telah menangkap Said Nursi dan murid-muridnya pada tahun 1935.

Said Nursi dituduh berkonspirasi untuk menjatuhkan kerajaan republik melalui penyebaran ajaran sesat. Dari tahun 1935 hingga 1951, berkali-kali Said Nursi dibicara, dipenjara, dikurung dan dibuang daerah. Malah ada percubaan untuk membunuh beliau melalui racun, namun beliau selamat dengan kehendak Allah. Malah Said Nursi hidup lebih lama berbanding Ataturk yang 3 tahun lebih muda dari beliau (Ataturk meninggal dunia pada tahun 1938).

buku

Klik di sini untuk mendapatkan buku Badiuzzaman Said Nursi dengan tawaran diskaun berganda

Klik di sini untuk mendapatkan buku Said Nursi - Edisi Jimat

Pada tahun 1951, perdana menteri baru Turki iaitu Adnan Menderes telah memberi pengampunan kepada Said Nursi. Adnan Menderes memansuhkan undang-undang yang menyekat syiar Islam seperti larangan azan dalam Bahasa Arab dan membenarkan jemaat Islam bergiat, termasuk Nurculuk. Tindakan Adnan Menderes telah menyinggung golongan Kemalis yang berpegang kepada ajaran Ataturk.

Pada 27 Mei 1960 (dua bulan selepas Said Nursi wafat), tentera Kemalis telah melancarkan kudeta. Adnan Menderes diturunkan dari jawatannya dan digantung mati. Tentera Kemalis membongkar kubur Said Nursi dan membuang jenazahnya ke tempat yang tidak diketahui.

Namun ketika itu, akibat usaha Said Nursi, sinar Nur Islam tidak dapat dipadam lagi. Tidak lama lagi Kemalis terpaksa mengembalikan kuasa kepada rakyat dan parti-parti yang mempunyai agenda Islam seperti MNP pimpinan Erbakan berjaya mendapat kerusi dalam parlimen.

erbbakan

Tidak kira betapa teruk sekali seksaan yang diberikan kepada Said Nursi, beliau bersabar dan sentiasa memesan muridnya agar tidak mengangkat senjata, kerana Islam tidak mungkin ditegakkan melalui keganasan. Malah, keganasan akan memberi peluang kepada musuh untuk memfitnah mereka.

Mahkamah sentiasa menemui kesukaran untuk mensabitkan kesalahan Said Nursi kerana beliau bersih dari segala tuduhan jenayah berat. Said Nursi hanya dapat dipenjarakan dengan kesalahan-kesalahan remeh seperti menulis dalam abjad Arab (dilarang sejak tahun 1929) dan memakai serban (dilarang sejak tahun 1925).

Dikala umat Islam diuji dengan Islamophobia gara-gara tindakan melulu segelintir ‘pejuang jihad’, hikmah dan kesabaran dalam perjuangan Said Nursi perlu diteliti dan dihayati oleh kita semua.

said nursi

Dalam gambar: babak pertemuan antara Said Nursi dan Mustafa Kemal Ataturk dalam filem Hür Adam (2011) yang mengisahkan riwayat hidup Said Nursi.

Koleksi Risalah Al-Nur ada di sini: http://www.nur.gen.tr/en.html

Nota Editor: Tulisan ini ditulis oleh Ayman Rashdan Wong. Beliau adalah penulis bebas dan merupakan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD). Beliau berharap, apa yang beliau tulis sekurang-kurangnya dapat memberi ilham kepada orang lain.

iklan

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024