Artikel

Ibadah Haji - Melontar Jamrah Tiada Kaitan Dengan Merejam Syaitan

oleh Fathin Hani pada 24 Jul 2017

Ibadah haji adalah rukun Islam yang kelima dan wajib bagi setiap muslim yang mampu secara fizikal dan mental untuk menjalaninya sekali seumur hidup. Walaupun tidak semua orang mampu untuk menjalankan ibadah haji, ia bukan bermakna mereka tidak perlu mempelajari ilmu haji. Ilmu dan pengetahuan mengenai haji adalah sangat penting bagi jemaah yang akan berangkat ke Tanah Suci

“Sesiapa yang menunaikan haji kerana Allah swt, lalu tidak melakukan perbuatan keji dan maksiat, dia pulang dalam keadaan seperti baru dilahirkan oleh ibunya.” (Direkodkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim)”

Madinah

Rukun haji adalah amalan asas yang wajib ditunaikan oleh para jemaah haji. Jika rukun haji tidak dilaksanakan dengan sempurna, maka hajinya adalah tidak sah. Antara rukun haji adalah melontar jamrah.Melontar jamrah adalah salah satu rukun haji yang mesti dilakukan dalam ibadah haji. Ia dilakukan bermula dengan lontaran di Jamrah Aqabah pada hari raya Aidiladha - 10 Zulhijah. Kemudian diikuti dengan lontaran ketiga-tiga jamrah sughra, wusto dan kubra pada tiga hari berikutnya. Melontar jamrah dengan 7 batu sambil bertakbir dalam setiap lontarannya.

Salah Faham Tentang Melontar Jamrah

 Ramai percaya dengan kisah yang tersebar dan menjadi mitos bahawa ibadah melontar jamrah adalah untuk melontar dan merejam kearah syaitan.

Kepercayaan ini mengakibatkan ibadah dilakukan dengan penuh rasa kemarahan dan batu juga dilontar dengan sepenuh hatinya. Para jemaah melontar dengan batu-batu yang besar, melampaui saiz anak batu yang diajarkan oleh Rasulullah saw.

Jammrah

Kononnya supaya syaitan lebih merasa terseksa dengan rejaman itu. Tidak cukup dengan rejaman tujuh anak batu di satu-satu jamrah, ditambah pula dengan melontar benda-benda lain seperti selipar, kayu, sampah dan sebagainya.

Kepercayaan ini adalah kepercayaan karut. Melontar adalah Ibadah sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah saw ketika menunaikan haji untuk mengingati Allah swt, bukan dengan niat yang sebaliknya.

Yang menarik, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin, Mufti Negeri Perlis, dalam artikel yang bertajuk: Haji, Antara Falsafah, Tokok Tambah dan Nas. menulis,

“Apakah syaitan yang begitu bijak menipu dan menghasut manusia menjadi begitu bodoh sehingga sanggup tunggu di jamrah-jamrah pada waktu haji untuk membiarkan diri mereka dilontar oleh jutaan manusia?”

Memetik sebuah Hadis daripada daripada Ibn `Abbas, katanya:

“Pada pagi Hari ‘Aqabah (musim haji) Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku ketika baginda berada di atas kenderaannya: Kutipkan untukku (batu-batu kecil untuk melontar jamrah al-`Aqabah). Aku pun mengutip batu-batu kecil untuk baginda yang kesemuanya sebesar biji kacang. Apabila aku meletaknya ke dalam tangan baginda, baginda pun bersabda: “(Ya) sebesar ini! Jauhilah kamu ghulu (melampau) dalam agama, kerana sesungguhnya ghulu dalam agama telah membinasakan mereka yang sebelum kamu. (Diriwayatkan oleh al-Nasa’i, Ibn Majah, al-Baihaqi dan Ahmad. Dinilai sahih oleh Ibn Khuzaimah dan al-Albani).

Tulis Dr. Asri lagi,

Nabi s.a.w dalam hadis ini memuji Ibn ‘Abbas kerana telah mengutip batu-batu yang kecil kerana itu sudah memadai.

Tidak benarkan melampaui batas dengan mengutip batu-batu yang melebihi ukuran yang sepatutnya. Baginda juga mengingatkan bahawa rosaknya agama mereka yang terdahulu adalah kerana melampaui batasan yang diajar oleh para rasul. Dalam erti kata lain, menokok tambah yang bukan-bukan sehingga merosakkan keaslian agama.

Buku HajiKlik disini untuk membeli buku sempena promosi haji

Ibadah yang sepatutnya dilakukan dalam penuh ketenangan dan khusyuk, bertukar menjadi satu tindakan yang kasar dan keras. Jauh daripada petunjuk Rasulullah saw, dan melencong daripada maksud ibadah yang sebenar. Semoga kita semua terhindar daripada amalan yang melampau dalam agama.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024