Artikel

Indahnya Kehidupan Jika Bersabar: Mukjizat Sabar dalam Al-Quran

oleh Hairul Faizal Adli Ab Ghani pada 27 Sep 2013

Sebahagian ulama mengatakan, “Apakah ada perkataan yang lebih mulia daripada perkataan sabar yang Allah s.w.t. nyatakan lebih daripada 90 kali? Kami tidak mengetahui perkataan yang lebih banyak dinyatakan oleh Allah s.w.t. dalam kitab-Nya melainkan perkataan ini.”

Sabar bermaksud menahan jiwa daripada sesuatu yang dibenci bagi mendapatkan keredhaan Allah seperti yang dinyatakan dalam surah Ar-Rad, ayat 22, “Orang-orang yang bersabar kerana mengharapkan keredhaan Tuhan mereka semata-mata.” Dan mendapatkan keredhaan Allah sememangnya menjadi matlamat tertinggi buat orang yang beriman.

Memahami pengertian sabar yang sebenar menjadikan kita kehidupan kita lebih bahagia dan diredhai Allah. Tiada keluh-kesah dan rasa gelisah bagi orang yang sabar. Hatinya tenang dengan mengingati Allah.

Dirinya mampu bersabar kerana dia yakin bahawa Allah sentiasa bersama orang yang sabar. Sesungguhnya Allah bersama orang yang beriman. Itulah janji Allah dalam Al-Quran.

Buku ini mengupas pelbagai persoalan tentang sabar daripada perspektif yang berbeza. Kita akan memahami hakikat sabar menghadapi ujian, sabar mentaati Allah, sabar dalam peperangan, dan pelbagai jenis sabar dalam pelbagai situasi tertentu.

Buku ini dikayakan dengan perbahasan tentang sabar yang sebenar berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah serta pandangan para ulama yang lain.

Pelbagai persoalan tentang sabar dihuraikan secara terperinci oleh Sheikh Yusuf Al-Qardawi berdasarkan kekuatan ilmu, pengalaman, serta kefahaman beliau dalam soal agama.

Pastinya buku ini menjadi satu kemestian untuk dibaca oleh umat Islam yang senantiasa stres, tertekan, dan gelisah dengan pelbagai cabaran di dunia ini.

Memahami hakikat sabar akan menjadikan kehidupan kita bertambah tenang dan bahagia. Bersabarlah dan kita pasti beruntung.

“Sungguh ajaib bagi seorang mukmin, semua perkara itu baik baginya, dan perkara itu tidak dimiliki oleh sesiapapun kecuali orang mukmin. Jika dia mendapat kesenangan dan dia bersyukur, itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa musibah dan dia bersabar, itu juga kebaikan baginya.”

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024