Inspirasi Dari Buku Cerita HAMKA

oleh Huzaifah Abd Jamil pada 02 Dec 2016

Setiap kali tiba hari Jumaat, kita digalakkan untuk membaca surah Al-Kahfi. Ini adalah bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW dari Abu Said Al-Khudri RA;

“Barang siapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka akan terpancar cahaya baginya di antara dua Jumaat.” (HR Al-Hakim: 2/368, dan Al-Baihaqi: 3/247)

Keunikan Al-Quran terletak pada segenap segi, termasuklah perumpamaan dan contoh-contoh dalam bentuk penceritaan.

Surah Al-Kahfi pada ayat ke-54 ada menerangkan tentang hal ini.

“Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan dengan berbagai-bagai cara di dalam Al-Quran ini untuk umat manusia, dari segala jenis contoh bandingan; dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya.”

Sejak kecil lagi, kita disajikan dengan cerita rakyat seperti Sang Kancil dan Pak Pandir. Di setiap penceritaan pula, watak-watak tersebut melambangkan sesuatu, dan ceritanya pula penuh dengan pengajaran.

Walau bagaimanapun, kita mula memahami cerita ini dalam fasa remaja.

Kadang-kala saya terfikir, apakah ada buku-buku cerita bersesuaian dengan pemikiran golongan dewasa?

Rupa-rupanya, HAMKA sudah menyediakan buku cerita versi orang dewasa sebagai pengajaran dalam menghadapi hidup.

Sekian lama mencari, baru saya berjumpa dengan buku Lembaga Hikmat karya HAMKA.

Lembaga Hikmat adalah jalinan kisah dan pengalaman orang-orang tertentu yang menempuh liku-liku hidup.

Cerita yang merangkumi sisi cerah dan gelap kehidupan mereka sesuai dijadikan sebagai perbandingan dan panduan hidup setiap insan.

Ketika kita merasai kegemilangan sebuah kerajaan, buku ini bercerita tentang konflik dan kesulitan yang dihadapi sang raja.

Buku ini turut memperlihatkan kekacauan pentadbiran, padahal ia sebenarnya sedang berusaha menyelamatkan negara.

Lembaga Hikmat turut memuatkan kisah seorang pemuda berwawasan sebagai penyegar jiwa golongan dewasa.

Kisah Usamah bin Zaid amat bagus sebagai meningkatkan jati diri, dimana kekuatan jiwa boleh sentiasa kukuh walaupun jasad semakin lemah.

Maka tepat sekali ungkapan HAMKA;

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata.