Artikel

Kasih Ibu: Menunggumu di Pintu Syurga

oleh Siti Nur Shahira Zakaria pada 19 Sep 2014

“Sayangilah anak kita semampu kita, kerana kita tidak tahu, siapa yang akan pergi dahulu, kita ataupun mereka”

Satu tagline yang sangat bermakna untuk mereka yang bergelar ibu dan bapa. Buku berjudul Menunggumu di Pintu Syurga mengisahkan seorang ibu yang kehilangan anak ketika anak itu masih muda untuk mengenal dunia. Masih belum puas untuk dijaga dan diberi kasih sayang oleh ibunya.

Keperitan rasa seorang ibu bermula apabila anak yang berusia 12 tahun disahkan menghidap penyakit barah. Rezaimen Kiefli, anak kecil yang aktif, ceria dan bercita-cita menjadi seorang hafiz telah kembali ke penciptaNya ketika umat Islam sedang menunaikan ibadah puasa pada 5 Julai 2014.

Apabila menyebut nama Linda Rafar, pasti ramai yang mengenalinya sebagai seorang selebriti tanah air. Namun, buku ini bukan ditulis atas kapasitinya sebagai seorang artis, tetapi sebagai seorang ibu yang tabah berkongsi kisah kehilangannya anaknya dengan harapan dapat dijadikan panduan kepada mereka diluar sana yang turut dilanda ujian sama seperti beliau.

Tidak dapat dinafikan, bukan hanya beliau saja yang diuji dengan ujian kehilangan anak tersayang, tetapi ketabahan dan keberanian beliau berkongsi rasa hilang itu dengan khalayak ramai.

Kandungan buku yang menyentuh kisah selama anak kecil itu hidup dan kecekalan hati seorang ibu menjaga anaknya pasti mengundang hiba kepada semua yang membaca kisah mereka.

Malah, banyak perkara yang dapat dijadikan panduan dan teladan dapat dikongsi bersama khususnya kepada para ibu dan bakal-bakal ibu diluar sana.

Dapatkan segera buku ini dikedai-kedai buku yang berhampiran dengan anda atau secara online di www.bookcafe.com.my

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024