Artikel

Kenali Persoalan Akidah Islam: 101 Soal Jawab Akidah

oleh Muhamad Syarafuddin Sulaiman pada 31 Dec 2013

Kita menjadi orang Islam kerana kepercayaan kita. Kerana akidah kita.

Salah akidah, maka diraguilah keislaman kita.

Buku 101 Soal Jawab Akidah adalah buku penting yang perlu ada dalam simpanan setiap orang Islam. Dikarang oleh Syeikh Tahir bin Muhammad al-Jazairi, buku ini dikarang dalam format mudah soal jawab.

Melalui siri soalan dan jawapan ini, pembaca menyelusuri persoalan-persoalan asas akidah yang menjelaskan apakah sebenarnya kepercayaan kita sebagai seorang Islam.

Berbeza dengan buku akidah lainnya, 101 Soal Jawab Akidah menawarkan tulisan asal penulis dalam bahasa Arab, lengkap dengan baris.

Terjemahan yang digunakan pula mementingkan kefahaman pembaca dan fokus pada bahasa yang ringkas.

Bermula dengan soalan ringkas, “Apakah kepercayaan orang Islam,” penulis terus menyajikan persoalan-persoalan yang mampu menggugat kita sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Antaranya perihal melihat Allah, membezakan mukjizat dan sihir, kenapa nabi diuji, bagaimana Nabi Adam boleh derhaka kepada Allah, dan mengapa pula Nabi Muhammad disebut sebagai nabi terakhir sedangkan Nabi Isa akan turun pada akhir zaman?

Soalan-soalan ini hanyalah sebahagian kecil daripada banyak lagi soalan-soalan yang diketengahkan dalam buku ini.

Insyaallah jawapan yang diberikan Syeikh Tahir dalam naskhah yang nipis tetapi padat ini mampu menenangkan fikiran dan meneguhkan iman.

 

 

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024