Artikel

Kenali Vaksin Anda

oleh Asri Yussof pada 23 Jun 2016

Meingococcal Meningitis

Penyakit Meningococcal Meningitis adalah sejenis penyakit berjangkit yang berpunca daripada bakteria Neisseria Meningitides

Pesakit dinasihatkan untuk mengelak dari ke tempat orang ramai yang sesak. Oleh sebab inilah, peraturan dikeluarkan kepada semua jemaah haji dan umrah oleh Kerajaan Arab Saudi sejak 1988 lagi.

Pada awalnya, vaksin yang diwajibkan digunakan adalah Meningococcal Meningitis A, C namun disebabkan terdapat perubahan corak jenis kuman, pada 2002 kerajaan Arab Saudi mewajibkan penggunaan vaksin Meningococcal Meningitis jenis A, C, Y, W135.

Satu suntikan vaksin ini dapat memberi perlindungan atau immunisasi kepada individu berkenaan selama tiga tahun.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-53 memutuskan penggunaan vaksin ini yang diambil daripada sumber lembu adalah harus. Manakala yang mengandungi unsur daripada khinzir adalah haram.

 

Pelalian Rubela (Imunisasi Rubella)

Rubella adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh virus dan mempunyai banyak persamaan dengan penyakit campak. Penyakit Rubella amat berbahaya kepada bayi ketika di dalam kandungan dan mudah berjangkit melalui saluran pernafasan atau pergaulan yang rapat.

Jika ibu mengandung dijangkiti virus Rubella dalam 3 bulan pertama, bayi yang bakal dilahirkan mungkin mati dalam kandungan. Jika berjaya dilahirkan, masalah seperti terencat akal, cacat mata, jantung, hati, limpa dan sistem pendengaran mungkin berlaku.

Sebagai langkah pencegahan, sejak April 1988, kerajaan Malaysia mula melaksanakan suntikan Rubella kepada pelajar perempuan dan wanita yang berusia antara 15 dan 44 tahun. Vaksin ini diimport dari Itali dan tidak mengandungi sebarang tisu haiwan kerana ia diperbuat dari tisu janin wanita yang mengalami keguguran.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-21 pada 12 September 1988 memutuskan vaksin ini tidak najis dan hukumnya harus bagi mencegah penyakit Rubella.

 

Human Papilloma Virus (HPV)

Vaksin HPV adalah kaedah pencegahan awal bagi mengelak seseorang wanita daripada terkena penyakit kenser pangkal rahim yang mampu meragut nyawa.

Pencegahan seawal belasan tahun dapat membantu mengurangkan risiko menerima penyakit ini dalam tempoh beberapa tahun akan datang terutama bagi mereka yang aktif dalam hubungan seksual.

Jangkitan Human Papilloma Virus (HPV) yang melata dan berkembang sehingga akhirnya merubah menjadi kanser. HPV ini adalah daripada famili papovaviridae yang mempunyai lebih 100 jenis virus, antara virus ini ada yang dikenal pasti punya berlakunya kanser serviks.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-92 pada 15 hingga 17 Disember 2010 memutuskan pengambilan vaksin HPV ini adalah harus.

 

Vaksin Biothrax dan Vaksin Rotateq

Anthrax adalah sejenis penyakit berjangkit yang dapat menyebabkan kematian mengejut dan darah keluar dari semua rongga yang terbuka. Ia boleh berjangkit pada bahagian kulit, saluran usus atau serangan melalui pernafasan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-81 pada 31 Mac 2008 memutuskan pengambilan vaksin Biothrax dan Rotateq adalah tidak dibenarkan kerana berlaku penggunaan unsur khinzir dalam proses penghasilannya.

Antara hujan jawatankuasa:

  1. Situasi kini dianggap tidak darurat

  2. Terdapat bahan atau ubat alternatif selain penggunaan unsur khinzir dalam pemprosesan kedua-dua vaksin

  3. Tiada data sokongan yang kuat bagi membuktikan bahawa rakyat negara ini sangat memerlukan kedua-dua vaksin ini.

 

Imunisasi Hepatitis B

Hepatitis B adalah sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus Hepatitis B. Virus ini terdapat dalam cecair badan seseorang pesakit seperti pada darah, air liur, air mani dan mana discaj atau bendalir.

Pesakit yang membawa penyakit ini dapat merebak apabila cecair daripada badan mereka masuk ke tubuh orang lain melalui luka, persetubuhan, semasa proses kelahiran bayi, perkongsian jarum suntikan.

Bagi bayi yang dijangkiti semasa lahir, risiko menjadi pembawa kronik adalah 90 peratus hingga 95 peratus, manakala bagi golongan dewasa adalah 5 peratus hingga 10 peratus.

Terdapat dua jenis vaksin bagi kegunaan imunisasi ini, iaitu vaksin yang dihasilkan daripada plasma darah dan yang dihasilkan daripada ragi untuk kegunaan program imunisasi ini.

Selalunya, vaksin in akan diberikan kepada bayi yang baru lahir, pekerja perubatan dan kesihatan dan penagih-penagih dadah.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-22 yang bersidang pada 24 November 1988 menghukumkan harus digunakan kerana penghasilannya dari ragi tidak mempunyai unsur najis dan bahan suci.

 

Nota Editor: Tulisan ini diambil dari buku Q&A Fiqh Perubatan, tulisan Dr. Muhammad Rafiqi Hehsan. Untuk menambah lagi ilmu berkenaan bidang perubatan ini, boleh beli dan dapatkan buku ini secara online di bookcafe.com.my atau kedai-kedai buku berdekatan.



Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024