Artikel

Ketaksuban Peminat KPOP yang Luar Biasa: OMG! Oppa

oleh Siti Zulfatihah Zahari pada 15 Oct 2015

Adakah anda peminat K-POP? Terlalu obses dengan muzik K-POP sehingga terbawa-bawa dalam kehidupan seharian? Inilah yang berlaku kepada Suri, seorang remaja tingkatan dua yang sangat meminati K-POP sehinggakan sanggup menipu kedua ibu bapanya semata-mata untuk menghadiri konsert K-POP yang julung-julung kali diadakan di Malaysia.

Ini bukan novel bertemakan K-POP yang pertama terbitan Blink Book. Selain, OMG! Oppa, ada beberapa buah novel lain, yang berlatarbelakangkan Korea seperti Aku Mahu Soulmate, KPOP Boys LAWAN Band Rock, NOMIK Running Star : Pencarian Bintang Terhebat. Jadi, jangan ketinggalan untuk dapatkannya.

Sebenarnya, sebahagian kisah daripada novel OMG! Oppa ini merupakan kisah benar yang berlaku kepada peminat K-POP tegar. Justeru, penulisnya bijak menyusun dan menggabungkan cerita tersebut dalam bentuk novelet yang diharap akan menjadi iktibar kepada para pembaca. Ceritanya mengisahkan tentang Suri yang terkena penyakit obses K-POP. Biliknya penuh dengan poster wajah oppa-oppa bermata sepet. Setiap hari akan dikaji berita KPOP dan gosip yang melanda artis pujaannya. Paling didambakan adalah mengumpul barangan merchandise eksklusif.

Paling kronik ketika Suri mendapat tahu bahawa kumpulan KPOP kegemarannya akan mengadakan persembahan di Malaysia. Suri mesti pergi walaupun tiketnya mencecah beratus ringgit. Suri wajib hadir, walaupun esoknya ada peperiksaan genting. Lalu, dirancang pelbagai cara mengumpul dana supaya boleh membeli tiket. Akhirnya, Suri tidak menyangka tindakannya itu berakhir dengan insiden yang memakan diri. Apa yang terjadi kepada Suri?

Buku ini mengupas dengan baik serta mudah untuk diterima oleh mereka yang fanatik K- POP. Ia tampilkan juga kesan dan akibat jika kita terlalu fanatik terhadap sesuatu perkara tanpa memikirkan mudarat yang bakal diterima. Selain itu, penulisnya turut menekankan bahawa di Korea itu terdapat banyak lagi perkara lain yang menarik dan boleh dipelajari selain daripada K-POP semata-mata.

Anda mungkin akan mengatakan buku ini agak tidak memberi contoh tauladan yang baik, kepada para remaja. Namun begitu, jangan menghukum buku ini sebelum anda selesai membacanya . Di penghujungnya kita akan tahu betapa tanggungjawab ibubapa itu sangat penting untuk membentuk sahsiah anak-anak yang semakin tercabar dengan dunia luar. Elemen kekeluargaan turut menjadi fokus utama dalam buku OMG! Oppa.

Janganlah terlalu taksub dengan K-POP sehingga kita terlupa dengan perkara yang berada di sekeliling kita. Meminati itu tidak salah, tapi harus ada batasnya.

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024