Artikel

Lagi Daripada Vlogger Kegemaran Ramai: Momen2 Matluthfi

oleh Muhamad Syarafuddin bin Sulaiman pada 26 Nov 2015

Mat kata: Aku yang dulu, bukan yang sekarang.

Tapi aku, pembaca ini, susah nak percaya.

Ada banyak sebab. Satu, mungkin sebab muka Mat nampak sama saja. Pakaian dia pun lebih kurang. Lebih daripada itu, aku tak berapa selesa kalau Mat berubah.

Mat adalah harapan aku. Walaupun aku lebih tua daripada Mat, tapi aku pandang tinggi Mat (Tak pasti siapa lebih sentimeter daripada siapa. Tapi kau yang baca reviu ni tentulah tak senaif tu untuk faham konteks aku). Kalau aku tensyen-tensyen, dan rasa nak hiburkan diri sendiri tanpa perlu marah-marah, aku akan tengok video-video Mat.

Dan aku jugak, boleh baca buku Mat.

Hiburan daripada Mat (terutama sekali lawak dia), pada aku, adalah cukup-cukup rasa. Taklah filosofi sangat, sampai nak gelak pun kena fikir, “Eh, memang boleh gelak atau tak ni?” Kemudian lebih penting, memang kelakar. Mat tak buat kau murung sebab kau dengar orang gelak sakan, tapi kau berkerut dahi tak faham manalah yang lawak sangat tu.

Pendapat akulah.

Tapi Mat kata dia tak mahu kekal begitu. Dia nak berubah. Dia dah berubah.

Aku takut jugalah mula-mula. Kan baca-baca, tapi tak faham, rasa bodoh pulak. Tak pun baca, dan boleh faham, tapi yang terasa cuma geram dan nak marah. Dah banyak dah bacaan lain yang boleh beri efek macam tu.

Tak perlulah Mat nak ‘join’ sekali.

Bila aku tengok ‘cover’ depan, aku baca ‘blurb’ belakang, aku punya semangat memang masih ada. Tak setinggi masa mula-mula aku tahu Mat nak buat Catatan Matluthfi. Tapi aku masih nak percaya yang Momen2 Matluthfi ni pun tak mudah-mudah nak kecewakan pembaca dia.

 Aku tak tahu apa respons kalian apabila habis baca buku ni. Ataupun bila belek-belek buku ni. Tapi setakat pengalaman sendiri, setakat yang aku baca, apa yang boleh dikatakan adalah buku nombor dua ini memang lain daripada buku nombor satu.

 Lain itu fakta. Boleh jadi ada orang kata, “Lain itu ‘best’” Mungkin jugak ada yang tak suka kelainan.

Cuma kalau kau mengaku peminat Mat, sekejap, kalau kau pernah baca buku nombor satu Mat, kau kena baca buku nombor dua ini. Lawak Mat mungkin dah berevolusi. Tapi kalau kau sama ‘wavelength’ dengan dia, insya Allah kau akan dapat sesuatu.

Dan jangan bimbang, kau tetap akan terhibur. Hanya saja kau kena buka mata. Juga kepala.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024