Artikel

Memahami Cara Membuat Keputusan yang Betul

oleh Helmi pada 28 Aug 2006

Bayangkan, jika dalam hidup ini individu tidak perlu membuat sebarang keputusan, pasti semua perkara yang hendak dibuat akan menjadi terlalu senang dan berjalan dengan lancar dan masalah juga tidak akan timbul. Kepala juga tidak pening bagi memikirkan satu persatu risiko yang akan timbul daripada setiap apa yang bakal diputuskan. Hati menjadi tenang dan tenteram. Hidup sentiasa ceria dan gembira.

Tetapi kenyataannya, dalam kehidupan ini setiap individu kena membuat keputusan. Apabila difikirkan secara mendalam, kehidupan sehari-hari memerlukan kita membuat keputusan. Bermula daripada bangun tidur pada waktu pagi, seseorang individu sudah membuat keputusan untuk dirinya. Yang paling ringkasnya adalah membuat keputusan sama ada hendak terus mandi ataupun membasuh muka sahaja, kemudian berwuduk dan solat. Itulah kecantikan yang ada dalam kehidupan yang diaturkan oleh Allah SWT kepada makhlukNya. Meskipun dalam konteks makhluk dengan Penciptanya manusia ini adalah hambaNya, tetapi manusia masih diberikan kebebasan membuat keputusannya sendiri dalam perkara-perkara yang bersesuaian dengan kedudukannya.

Adakalanya individu tidak mahu memikirkan sama ada dia sudah melalui proses yang betul dalam membuat keputusan. Apa yang biasa dilakukan oleh individu sewaktu dalam proses untuk membuat sesuatu keputusan adalah membandingkan langkah-langkah yang sedang dipertimbangkannya dengan pengalamannya sendiri pada masa lalu ataupun pengalaman orang-orang lain yang berkaitan. Sama ada betul ataupun salah keputusannya itu nanti, biasanya tidak menjadi isu atau perkara yang besar, kerana individu biasanya mengetahui apa-apa keputusan yang diputuskan memang mempunyai risiko. Yang penting adalah bersedia menerima risiko yang timbul, berhadapan dengannya dan mengambil pengajaran daripadanya. Biasanya individu belajar daripada pengalaman diri sendiri mahupun orang lain.

Jenis-jenis Keputusan
Sebenarnya keputusan yang dibuat oleh seseorang dalam hidupnya boleh dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu keputusan dengan kepastian, keputusan dengan risiko yang dijangkakan dan keputusan tanpa kepastian. Dalam kehidupan sehari-hari sama ada kita sedar ataupun tidak adakalanya kita membuat keputusan dengan pasti, dengan ragu-ragu ataupun dengan berserah kepada nasib. Antara lain, keputusan-keputusan yang kita buat boleh menjadi sebegitu rupa bergantung pada sedikit ataupun banyaknya maklumat-maklumat yang kita miliki berkenaan alternatif-alternatif yang ada bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi. Penerangan kepada setiap jenis keputusan yang ada adalah seperti berikut:

i. Keputusan dengan kepastian: Apa yang dimaksudkan adalah, keputusan ini mempunyai hasil ataupun akibat yang jelas, yang dapat diketahui dengan pasti oleh individu yang memutuskannya. Setiap alternatif yang dicadangkan dalam keputusan yang dibuat diketahui dengan jelas akan kesan-kesannya sama ada kesan yang positif mahupun kesan yang negatif.

Contoh keputusan jenis ini adalah seperti berikut:

Anda sedang memandu kenderaan keluar daripada Lebuh Raya Karak melalui Plaza Tol Gombak. Untuk ke Zoo Negara, anda perlu mengikut jalan susur keluar di sebelah kiri ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan terus memandu sejauh kira-kira 9 km lagi menghala ke Hulu Kelang. Untuk ke Kepong, anda perlu memandu terus melalui jalan susur keluar ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2). Anda perlu terus memandu menghala ke Kepong sejauh kira-kira 8 km lagi dan mengabaikan mana-mana jalan susur keluar di kiri lebuhraya, sehinggalah anda sampai di Kepong.

ii. Keputusan dengan risiko yang dijangkakan: Apa yang dimaksudkan adalah, keputusan ini mempunyai hasil ataupun akibat yang tidak dapat diketahui dengan pasti oleh individu yang memutuskannya. Individu hanya boleh mengagak atau membuat jangkaan sahaja berkenaan hasil atau akibat tindakannya itu. Setiap alternatif yang dicadangkan dalam keputusan yang sudah dibuat diketahui mempunyai risiko kebarangkalian mendatangkan kesan-kesan yang positif mahupun kesan-kesan yang negatif.

Contoh keputusan jenis ini adalah seperti berikut:

Berdasarkan kepada nilai CGPA yang anda peroleh di peringkat matrikulasi anda mempunyai dua pilihan sama ada memasuki Fakulti Kejuruteraan ataupun Fakulti Sains. Jika anda memasuki Fakulti Kejuruteraan, anda mempunyai 6 daripada 10 peluang bagi mendapat purata gred C ataupun purata gred yang lebih baik sedikit daripada itu sahaja pada tahun pertama pengajian anda. Jika anda memasuki Fakulti Sains, anda mempunyai 8 daripada 10 peluang untuk mendapat purata gred B ataupun purata gred yang lebih baik lagi pada tahun pertama pengajian anda.

iii. Keputusan tanpa kepastian: Apa yang dimaksudkan dengan keputusan
jenis ini adalah keputusan ini mempunyai hasil ataupun akibat yang tidak dapat diketahui langsung oleh individu yang memutuskannya. Setiap alternatif yang dicadangkan dalam keputusan yang sudah dibuat tidak diketahui langsung akan kesan-kesannya sama ada kesan yang positif mahupun kesan yang negatif.

Contoh keputusan jenis ini adalah seperti berikut:

Semasa anda memandu kereta memasuki sebuah pekan yang pertama kali anda laluinya dalam perjalanan anda di Perlis, kereta anda mengalami kerosakan. Anda tidak mengenali sesiapa pun di pekan itu yang dapat membantu anda menunjukkan di manakah atau bagaimanakah hendak mendapatkan mekanik kereta yang bagus yang dapat membaiki kereta anda. Anda hanya mempunyai buku panduan telefon Yellow Pages kawasan utara yang memang sedia ada dalam kereta anda. Anda sendiri tidak mempunyai maklumat langsung berkenaan mana-mana bengkel membaiki kereta yang disenaraikan dalam buku panduan itu dan tiada orang yang dapat membantu anda di pekan itu disebabkan kesukaran anda untuk berkomunikasi dalam bahasa mereka. Anda hanya mampu mengharapkan bengkel membaiki kereta yang anda hubungi adalah bengkel membaiki kereta yang bagus dan bersedia menghantar mekaniknya bagi membaiki kereta anda di pekan itu ataupun bersedia menarik kereta anda keluar daripada pekan dan membawanya ke bengkel untuk dibaiki.

Walaupun mungkin sukar mencari kajian-kajian ilmiah berkaitan jenis-jenis keputusan yang dibuat oleh individu, akan tetapi sekurang-kurangnya jenis-jenis keputusan yang sudah dinyatakan dapat diterima oleh akal fikiran. Barangkali mungkin kita sendiri pernah berada dalam ketiga-tiga situasi yang dinyatakan dan membuat keputusan berdasarkan maklumat yang ada pada diri kita ketika itu. Individu biasanya tersepit untuk membuat keputusan dengan segera dan tidak boleh ditangguhkan kerana masa yang tidak mengizinkan. Bukan betul ataupun salah yang diutamakan dalam membuat keputusan, sebaliknya adalah keberanian. Membuat keputusan sebenarnya memerlukan keberanian, dan yang paling penting adalah berani bertanggungjawab. Berani mengambil tanggungjawab terhadap keputusan yang sudah dibuat sentiasa membuatkan individu terus maju ke hadapan.

Strategi Membuat Keputusan

Strategi-strategi membuat keputusan yang akan dinyatakan di bawah sebenarnya bukanlah suatu perkara yang asing bagi kita. Pastinya mana-mana individu pernah membuat keputusan dalam hidupnya dan keputusan itu dibuat berdasarkan strategi yang sesuai dengan keadaan dan keperluan pada masa itu. Kadang-kadang individu membuat keputusan yang segera dan cepat. Kadang-kadang individu membuat keputusan selepas mengambil kira segala kesan positif dan negatif yang mungkin timbul daripada keputusannya itu. Kadang-kadang juga, individu membuat keputusan berdasarkan rasa hati atau gerak hati. Malah ada juga individu yang membuat keputusan berdasarkan kepada keputusan rakan baiknya.

Pendek kata, ada bermacam-macam strategi yang digunakan individu dalam membuat keputusan. Apa yang jelas, perbezaan strategi wujud antara individu dalam membuat sesuatu keputusan disebabkan berbezanya keupayaan dan kebolehan antara setiap individu bagi melaksanakan langkah-langkah yang sempurna yang dicadangkan dalam membuat sesuatu keputusan. Secara teorinya, strategi-strategi yang ada dalam membuat keputusan adalah seperti yang berikut:

i. Strategi Planful: Strategi membuat keputusan berdasarkan pendekatan rasional yang seimbang antara aspek kognitif dan emosi. Dalam strategi membuat keputusan jenis ini, kesemua tujuh langkah yang dicadangkan, iaitu 1) mengenal pasti tujuan keputusan itu dibuat, 2) mencari maklumat 3) mengenal pasti pilihan-pilihan penyelesaian masalah yang ada, 4) membuat pertimbangan yang adil dan saksama, 5) membuat keputusan tentang pilihan-pilihan yang ada, 6) mengambil tindakan, dan 7) mengkaji semula keputusan yang dibuat dan kesan-kesannya -dilaksanakan dengan sempurna dan mengikut urutannya. Individu yang membuat keputusan dengan strategi ini selalu menyatakan, Saya seorang yang membuat perancangan dan teratur.

ii. Strategi Agonizing: Strategi membuat keputusan yang terlalu banyak menumpukan kepada usaha mengumpulkan data dan menganalisis alternatif (langkah ke 2 hingga 4). Individu yang hendak membuat keputusan hilang punca dalam timbunan maklumat yang dicari dan dikumpulkannya dan tidak dapat membuat keputusannya (langkah ke 5). Individu yang membuat keputusan dengan strategi ini selalu menyatakan, Saya tidak dapat membuat keputusan.

iii. Strategi Impulsive: Strategi membuat keputusan yang hanya mengambil alternatif yang pertama yang ada di hadapannya tanpa betul-betul melihat kepada alternatif-alternatif lain ataupun tanpa melakukan usaha mengumpulkan maklumat-maklumat sebanyak mungkin terlebih dahulu. Individu yang menggunakan strategi jenis ini bergerak dengan sangat cepat ke langkah yang ke 6 dalam proses membuat keputusan. Individu yang membuat keputusan dengan strategi ini selalu menyatakan, Buat keputusan sekarang, fikirkan tentangnya kemudian.

IV. Strategi Intuitive : Strategi membuat keputusan berdasarkan rasa hati ataupun gerak hati yang tidak dinyatakan dengan secara jelas. Individu yang membuat keputusan dengan strategi ini selalu menyatakan, Rasa-rasanya apa yang saya buat ini betul.

v. Strategi Delaying: Strategi membuat keputusan dengan menangguhkan pemikiran dan tindakan terhadap sesuatu masalah yang timbul kepada masa itu ke suatu masa yang lain. Individu yang membuat keputusan dengan strategi ini selalu menyatakan, Saya akan fikirkan perkara tersebut esok.

vi. Strategi Fatalistic: Strategi membuat keputusan yang menyerahkan keputusan yang dibuat kepada keadaan ataupun takdir. Individu yang membuat keputusan dengan strategi ini selalu menyatakan, Apa yang telah ditetapkan akan berlaku, tetap akan berlaku juga.

vii. Strategi Compliant : Strategi membuat keputusan yang mengikut perancangan orang lain dan bukan perancangannya sendiri. Individu yang membuat keputusan dengan strategi ini selalu menyatakan, Kalau cara itu OK dengan anda, ia juga OK dengan diri saya.

viii. Strategi Paralytic: Strategi membuat keputusan di mana individu yang terlibat menyedari akan tanggungjawabnya membuat keputusan yang diharapkan. Akan tetapi, dia berasa tidak terdaya melakukannya (membuat keputusan) disebabkan ada perkara-perkara lain yang perlu dipertimbangkan juga yang menyebabkannya berada dalam keadaan tidak yakin dan serba salah. Individu yang membuat keputusan dengan strategi ini selalu menyatakan, Saya tahu saya patut berbuat sesuatu tentang masalah itu, tetapi saya betul-betul tidak berdaya membuat keputusan saya (Harris-Bowlsbey, Spivack dan Lisansky, 1983).

Dalam kehidupan sehari-hari rasanya kita memang pernah mempraktikkan kesemua lapan strategi membuat keputusan yang ada. Apa yang penting adalah, kita harus tahu menggunakan strategi membuat keputusan yang betul dengan situasi ataupun masalah yang hendak diselesaikan. Sebagai contoh, jika hendak menentukan makan malam sebaik pulang dari pejabat, strategi impulsive mungkin sesuai digunakan. Tidak perlu bersusah payah memikirkan apa menu yang hendak dibuat. Lebih senang kalau terus sahaja buka peti sejuk di rumah dan tengok bahan-bahan yang ada dan terus memasak. Waktu malam bukan suatu tempoh masa yang panjang. Yang paling penting pada waktu malam adalah untuk berehat selepas seharian bekerja.

Begitu juga dalam urusan memilih kawan. Kita biasanya akan menggunakan strategi intuitive yang mementingkan gerak hati dan perasaan kita. Jika kita rasa serasi berkawan dengan seseorang, kita akan membuat keputusan berkawan dengannya dan biasanya kita tidak akan meneliti latar belakang rakan kita ataupun membuat penyiasatan yang mendalam berkenaan siapakah dirinya yang sebenar. Memadai untuk kita mengikut rasa hati sendiri dan menilai sama ada perasaan kita terganggu ataupun tidak apabila berada bersama-samanya ataupun apabila tidak berada bersama-samanya. Dalam berkawan memang aspek ini yang biasanya diberikan pertimbangan yang lebih banyak berbanding aspek-aspek yang lain.

Walau bagaimanapun, dalam urusan membuat keputusan berkaitan sesuatu perkara yang penting dalam kehidupan seperti membeli rumah kediaman sendiri buat pertama kali dan juga menentukan apakah kerjaya masa depan yang hendak diceburi, strategi membuat keputusan yang paling berkesan adalah strategi planful. Keputusan berhubung dengan kedua-dua urusan ini perlu dijalankan dengan teliti dan terperinci supaya apa jua hasilnya nanti adalah sesuatu yang baik ataupun sekurang-kurangnya tidaklah sesuatu yang akan mengecewakan. Strategi planful adalah strategi yang terbaik kerana ia adalah pendekatan yang rasional yang seimbang antara aspek kognitif dan emosi. Dalam strategi membuat keputusan jenis ini, kesemua tujuh langkah yang dicadangkan dilaksanakan dengan sempurna dan mengikut urutannya.

Bagi lebih memudahkan pembaca melihat keberkesanan kesemua strategi membuat keputusan yang ada, penulis kemukakan di sini satu ‘kontinum efektif’ strategi-strategi membuat keputusan yang sudah dibentangkan di atas. ‘Kontinum efektif’ strategi-strategi membuat keputusan ini mempunyai dua hujung, iaitu Tidak Efektif dan Efektif. Strategi-strategi membuat keputusan akan berada sama ada di tengah, berdekatan ataupun berjauhan dari kedua-dua hujung garis kontinum itu.
Tidak Efektif———————————————————————————————————————Efektif
Paralytic Planful
Delaying Intuitive
Fatalistic   Agonizing   Impulsive
  Compliant

Proses Membuat Keputusan Yang Sempurna
Membuat keputusan sebenarnya adalah suatu proses. Meskipun adakalanya ia kelihatan seperti berlaku secara spontan, tetapi sebenarnya ia mengandungi komponen-komponen yang tertentu. Dalam proses membuat keputusan ada tujuh langkah yang biasanya dilalui iaitu, mengenal pasti keputusan yang hendak dibuat, mendapatkan maklumat, mengenal pasti alternatif, membuat pertimbangan, membuat pilihan antara alternatif, mengambil tindakan dan mengkaji semula keputusan dan akibatnya. Hubung kait antara setiap langkah dalam membuat keputusan adalah seperti yang ditunjukkan pada carta di bawah.

Carta Aliran Proses Membuat Keputusan

Sumber: Harris-Bowlsbey, Spivack dan Lisansky, (1983).
Apa yang ditunjukkan pada carta di atas adalah langkah-langkah yang sempurna bagi membuat sesuatu keputusan. Ia bermula dengan individu mengenal pasti tujuan keputusan itu dibuat, mencari maklumat, mengenal pasti pilihan-pilihan penyelesaian masalah yang ada, membuat pertimbangan yang adil dan saksama, membuat keputusan berkaitan pilihan-pilihan yang ada, mengambil tindakan dan mengkaji semula keputusan yang dibuat dan kesan-kesannya. Jelas sekali, membuat keputusan adalah suatu proses yang mempunyai urutannya. Jika seseorang individu meninggalkan mana-mana satu, dua ataupun beberapa langkah yang ada, sudah pasti keputusan yang dibuat akan pincang dan tidak sempurna.

Dengan menggunakan pendekatan yang dikemukakan di atas, proses membuat keputusan berkaitan pilihan pendidikan dan kerjaya bermula dengan individu perlu terlebih dahulu mengenal pasti apakah keputusan yang hendak dibuatnya. Contohnya, mungkin seorang pelajar yang dinamakan sebagai C, mengenal pasti bahawa dia ingin menyambung pelajaran setelah menerima keputusan peperiksaan SPM yang memuaskan. Selepas mengenal pasti perkara itu, barulah C boleh beralih kepada fasa yang kedua, iaitu mendapatkan maklumat tentang bidang-bidang pendidikan yang ditawarkan di universiti dalam dan luar Negara. Begitu juga dengan kursus-kursus yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi swasta.

Selepas mendapat maklumat yang berkaitan, bermulalah proses mengenal pasti apakah bidang pendidikan yang benar-benar sesuai dengan kelulusan yang dimiliki oleh C. Daripada sekian banyak kursus-kursus yang ditawarkan, mungkin hanya ada beberapa kursus sahaja yang diminati oleh C dan sesuai dengan kelulusan akademiknya. C perlu menyenaraikan kesemua kursus itu bagi memudahkannya membuat pemilihan. Proses membuat pilihan ini melibatkan proses membuat analisis dan pertimbangan yang menyeluruh ke atas kesesuaian diri C dengan kursus yang ada.
Selepas semua aspek yang penting (seperti kelayakan akademik yang dimiliki sesuai dengan kursus yang dipilih, bantuan kewangan yang disediakan, lokasi institusi, dan lain-lain) diambil kira, barulah C mampu menetapkan hanya tiga pilihan pendidikan sahaja yang utama, kedua utama dan ketiga utama.
Jika C masih gagal membuat keputusan tentang tiga pilihan pendidikannya, dia perlu berpatah balik semula kepada proses bagi mendapatkan maklumat, mengenal pasti alternatif dan membuat pertimbangan. Mungkin ada maklumat penting berkaitan kursus pendidikan yang tidak dapat diperoleh oleh C yang menyebabkannya gagal membuat keputusan. Dengan mengulangi semula proses membuat keputusan yang dinyatakan C akan mendapat lebih lagi maklumat yang membolehkannya membuat keputusan dengan yakin.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024