Memahami Maqasid Syariah: Fiqh Kewangan Islam

oleh Zatil Azyyati Mustapha pada 23 Apr 2014

Buku ini terhasil bagi menerangkan prinsip-prinsip dan keindahan agama Islam dalam bidang muamalat supaya kita mampu memahami maqasid syariah di sebalik hukum-hakam, permasalahannya, prinsip-prinsipnya, serta cara mengeluarkan hukum daripadanya.

 Penulisnya, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman telah menjalankan kajian berkenaan permasalahan hukum jual beli kerana beberapa jenis sistem jual beli masa kini menjadi topik yang hangat dibincangkan dan memerlukan jawapan yang meyakinkan, iaitu menerangkan hukumnya dan maqasid di sebaliknya.

 Buku Fiqh Kewangan Islam terbahagi kepada tiga bahagian utama, iaitu:

1. Pengertian asas tentang maqasid dan jual beli

Pada bahagian ini, penulis memberikan penerangan ringkas tentang pengertian maqasid menurut bahasa dan istilah. Kemudian, beliau menjelaskan persamaan dan perbezaan antara istilah maqasid dan istilah-istilah lain yang hampir sama maksudnya.

Bab ini juga membahaskan secara ringkas pengertian jual beli, pembahagiannya, dan maqasid syariah di sebalik pensyariatannya. Ia adalah sebagai gambaran awal kepada isu-isu yang akan dibincangkan dalam bab-bab seterusnya.

2. Penetapan maqasid syariah dalam hukum syarak

Ia mengupas isu-isu yang berkaitan penetapan maqasid syariah dan dibahagikan kepada tiga fasal, iaitu tujuan syariat diturunkan, asal kepada kaedah asas urus niaga adalah melihat kepada makna serta cara- cara penetapan maqasid syariah.

3. Hukum jual beli dan objektif pensyariatannya

Fokus utama bab ini adalah bagi membincangkan hikmah dan objektif pensyariatan hukum-hukum jual beli semasa.

Pembaca akan dapat mengenal pasti beberapa permasalahan dalam jual beli seperti hukum dalam urusan hak cipta, serta menghapuskan keliruan yang timbul dalam hukum jual beli secara khusus, dan yang berkaitan harta secara umumnya.