Artikel

Memartabatkan Bahasa Melayu, Memantapkan Bahasa Inggeris (MBMMBI)

oleh Profesor Emeritus Abdullah Hassan pada 22 Apr 2012

Berikut dikongsikan ucapan Profesor Emeritus Abdullah Hassan ketika merasmikan Bulan Bahasa di Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir, Seremban pada 1 Julai 2011.

Slogan MBMMBI ini ada baiknya kita pisahkan menjadi dua objektif yang ternyata sangat berlainan dengan keupayaan yang juga sangat jauh berbeza, iaitu: 

1. Bagaimana kita Memartabatkan Bahasa Melayu, dan
 
2. Bagaimana kita memantapkan Bahasa Inggeris.

Adapaun memartabatkan Bahasa Melayu itu tidaklah sesukar yang mungkin kita fikirkan. Bahasa Melayu itu sudah lama bermartabat. Ia sudah dijadikan Bahasa Kebangsaan negara kita Malaysia, semenjak 1957. Rasionel kita menjadikannya Bahasa Kebangsaan kita itu adalah ia adalah sebuah bahasa yang mempunyai sejarah yang lama sebagai bahasa wilayah ini. Malah ia sudah wujud 2,000 tahun dahulu. Dan ia mempunyai ribuan manuskrip dan hikayat, iaitu Bahasa Melayu itu adalah sebuah bahasa yang memang sudah maju. 

Oleh sebab itu, memartabatkan Bahasa Melayu itu sebenarnya adalah untuk kita semua berusaha menggunakannya. Kita perlulah menggunakannya dengan baik dan rapi. Dengan perkataan lain, kita hendaklah menggunakan Bahasa Melayu Tinggi, yang sebutannya, ejaannya, perkataannya, dan tatabahasanya teratur rapi. Malah, ini adalah sebuah modal pada kita. Orang yang menuturkan bahasa yang rapi itu dipersepsi sebagai berpendidikan, berbudaya, bersantun, dan bijaksana.

Izinkan saya memberi sebuah contoh yang paling mudah difahami. Tentu anak-anak semua pernah mendengar orang Afro-Amerika bercakap. Ya, sekarang, bayangkan sekiranya Presiden Obama menggunakan bahasa demikian, apa akan jadi pada pencalonannya ... Tentu beliau tidak akan menang ...

Oleh sebab itu, mulai sekarang, kita martabatkan bahasa Melayu dengan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi.

Kedua, bagaimana kita memantapkan Bahasa Inggeris? Usaha demikian tidaklah sama dengan usaha terhadap bahasa Melayu. Kita baharu sahaja mula mempelajari Bahasa Inggeris di sekolah. Dan kita sudah pun mahir berbahasa Melayu sebelum masuk ke sekolah.

Oleh sebab itu langkah memantapkan bahasa Inggeris itu pastilah bermaksud belajar menggunakan bahasa Inggeris.

Sebagai murid sekolah, kita mesti mengambil sikap positif. Peluang belajar Bahasa Inggeris ini hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya. Mungkin kita tidak akan dapat berbicara dalam Bahasa Inggeris sefasih orang Inggeris, tetapi kita tentu dapat menguasai kemahiran yang agak baik. Sekurang-kurangnya kita akan dapat bercakap mengenai perkara-perkara biasa seperti bertanya khabar dan berjual beli.

Tetapi saya yakin, kita semua dapat menguasai kemahiran membaca yang tinggi. Apabila kita dapat membaca dengan baik, ada banyak sumber ilmu yang terbuka pada kita. Dan dengan membaca pula, saya yakin kemahiran kita berbahasa akan juga meningkat.

Pesan saya, gunakanlah Bahasa Melayu Tinggi, dengan demikian kita sebenarnya Memartabatkan Bahasa Melayu.

Seterusnya, belajar Bahasa Inggeris, dan berikan tekanan kepada kemahiran membaca, saya yakin Bahasa Inggeris anakanda semua akan menjadi mantap.

Dan kita semua memang dapat menjadi dwibahasa dengan baik, menuturkan Bahasa Melayu Tinggi dengan baik, dan menggunakan Bahasa Inggeris dengan mantap. 

Selamat menjalankan aktiviti Bulan Bahasa, semoga Allah memberi ganjaran yang berganda kepada kita apabila kita melaksanakan usaha yang baik.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024