Artikel

Membentuk Motivasi Gaya Rasulullah

oleh [email protected] pada 18 Feb 2013

Imran bin Husain melaporkan pada suatu masa ada seorang lelaki datang mendekati Nabi Muhammad. Lelaki itu berkata, “Assalamualaikum.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 10 pahala.” Kemudian datang pula seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 20 pahala.” Kemudian datang lagi seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 30 pahala.”—Hadith No. 2689 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi

Dalam hadith ini ada sekumpulan orang yang Nabi Muhammad mahu dorong supaya mereka memberi salam dengan cara-cara yang betul. Cara yang Nabi Muhammad lakukan adalah menunjukkan kepada mereka secara live 3 orang lain yang memberi salam dengan cara-cara yang betul.

1. Nabi Muhammad tidak mengkritik mereka dengan mengatakan cara mereka memberi salam tidak betul, dengan berkata:

* “Salah! Salah! Salam kamu itu salah!” (SALAH)
* “Cara kamu memberi salam masih tidak betul.” (SALAH)
* “Bukan begitu cara memberi salam.” (SALAH)

2. Beliau juga tidak menyuruh mereka membetulkan cara mereka memberi salam, dengan berkata:

* “Betulkan cara kamu beri salam.” (SALAH)
* “Bukan macam itu. Belajar cara beri salam yang betul.” (SALAH)
* “Kalau mahu pahala, betulkan cara kamu beri salam.” (SALAH)

3. Nabi Muhammad tidak mengajar mereka cara-cara itu macam guru mengajar murid-muridnya, ataupun macam penceramah mengajar para hadirin, dengan berkata:

* “Salam adalah doa, jadi mesti diberi dengan betul.” (SALAH)
* “Ada tiga cara memberi salam yang betul.” (SALAH)
* “Selain 3 cara ini, semua cara lain adalah salah.” (SALAH)

4. Nabi Muhammad tidak menunjukkan contoh orang-orang yang memberi salam dengan cara yang salah, dengan berkata:

* “Jangan ikut cara orang itu beri salam. Caranya salah.” (SALAH)
* “Apalah Si Fulan itu, beri salam pun tidak betul.” (SALAH)
* “Kamu dengar tadi Si Fulan beri salam? Bukan macam itu.” (SALAH)

5. Nabi Muhammad cuma menunjukkan cara memberi salam yang betul sahaja. Beliau tidak menyuruh mereka supaya ikut macam orang-orang itu memberi salam, dengan berkata:

* “Kalau mahu pahala, tiru cara mereka.” (SALAH)
* “Kamu semua ikut cara mereka memberi salam.” (SALAH)
* “Cara mereka itu betul. Kamu kena ikut cara mereka.” (SALAH)

Lazimnya apabila kita hendak menyuruh orang membetulkan cara kerjanya, terlebih dahulu kita kritik cara kerjanya yang tidak betul itu, kemudian baru kita beritahu cara yang betul. Ini bukan cara yang Nabi Muhammad tunjukkan dalam hadith itu. Ringkasnya, jangan kritik cara orang itu buat kerja, walaupun cara itu salah. Tunjukkan sahaja contoh-contoh sebenar cara yang betul.

 

Artikel dipetik daripada http://www.psikologihadith.com/2012/03/teknik-motivasi-nabi-muhammad.html pada 18/2/2013. 


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024