Artikel

Membongkar Misi Tersembunyi: Impiana 2 - Tiada Jalan Keluar

oleh Hairul Faizal Adli Ab Ghani pada 14 Nov 2013

Di permulaan penceritaan, penulis mengundang rasa geram di hati pembaca kerana menerbitkan lima watak serentak, iaitu Farah dan suaminya, Fahrin, Shasha, Linda dan Nana, dengan kisah mereka masing-masing.

Perut Farah yang memboyot 8 bulan itu, membawa kandungan anak kembar, FaFa cukup diuji psikologinya apabila suaminya, Fahrin, tidak berada di sisinya.

Bertambah keruh, apabila ibunya sendiri seperti tidak lagi menyukai menantunya itu. Menantu yang dulunya direstui,  namun kini dibenci bukan kepalang lagi, gara-gara terperangkap dalam Hospital Permai.

Perubahan drastik pada tubuh Shasha, dari 97 kilogram kepada 50 kilogram selama tiga bulan cukup menjadi perbualan ramai orang.

Linda yang kehilangan deria penglihatannya, bertambah sedih apabila kehilangan ibu bapa dan tunangnya semata-mata untuk mencapai impiannya menjadi jutawan segera.

Hidup Nana pula ibarat perlarian dan menginap secara rahsia di Seremban dari dijejaki Syarikat Impiana.

Namun, usahanya gagal apabila menerima sepucuk surat dari syarikat terbabit. Impian Pai’e untuk menjadi sepopular Mawi bertukar menjadi tragik apabila dirinya dikatakan penjenayah berbahaya.

Fasha yang 10 tahun berada di London, tekad untuk pulang ke Malaysia. Ketua The Wannababes itu pulang dengan misinya tersendiri.

Mimi Monira, mangsa buli The Wannababes semasa di Sekolah Sri Bangsar dan Syarikat Impiana mempunyai kaitannya antara satu sama lain.

Usaha untuk membebaskan Fahrin, memulihkan penglihatan Linda, menyelamatkan Nana dari buruan dan menggugurkan tuduhan Pai’e memerlukan perancangan dan bantuan yang teliti.

Mampukah mereka terselamat dari jerat Syarikat Impiana?​

 

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024