Artikel

Mempertimbangkan Semula Kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail

oleh Mohamed Imran Mohamed Taib pada 08 Sep 2016

Merenung Pengajaran Kisah Ibrahim

Muslim sering diberitahu bahawa kisah Ibrahim adalah pengajaran mengenai ketaatan dan kepatuhan kepada Tuhan tanpa soal.

Kalau tidak, mengapa pula beliau akan tunduk kepada perintah Tuhan melalui mimpi untuk mengorbankan satu-satunya anak lelakinya, Ismail?

Namun, pengajaran tentang kepatuhan ini agak membimbangkan.

Pengorbanan

Ia merupakan tunjang autoritarianisme agama yang menuntut ketaatan yang tidak berbelah bahagi dan kepatuhan tanpa soal walaupun ia bertentangan dengan hati nurani dan pertimbangan yang sihat.

Hingga sanggup membunuh hanya kerana suruhan Tuhan? Bagi aku, inilah landasan pemikiran yang sama oleh ekstremis zaman kini: membunuh semata-mata kerana perintah Tuhan!

Fahaman yang membimbangkan tentang naratif pengorbanan Nabi Ibrahim ini membuatkan aku bertanya:

Jika Tuhan menginginkan bukti pengorbanannya, mengapa Dia menghentikan perbuatan Ibrahim di saat pisau tersebut akan membelah tengkuk Ismail?

Mengapa Dia menggantikan Ismail dengan seekor kambing? Jika pengajaran cerita ini adalah tentang ketaatan, Tuhan akan membiarkan pengorbanannya diteruskan dengan pembunuhan Ismail. Namun tidak.

Sebaliknya, Dia mengajarkan Ibrahim supaya menggantikan Ismail dengan seekor kambing. Apakah pengajaran yang ingin disampaikan?

Tamadun Purba

Konteks Sejarah Pengorbanan Dalam Tamadun Purba

Pertama sekali, korban manusia bukanlah asing di tamadun purba.

Pengorbanan sebegini adalah sebahagian daripada kepercayaan ajaib tentang keberkesanan korban manusia untuk memuaskan Tuhan/dewa-dewi apabila tamadun manusia pada permulaannya merasakan tidak berupaya menangani cubaan alam.

Ia bukanlah luar biasa jika Ibrahim memikirkan bahawa pengorbanan anaknya dituntut oleh Tuhan, walaupun dia begitu tertekan dengannya.

Tapi di sinilah titik perbezaannya: Ibrahim ditakdirkan sebagai permulaan baru dalam kesedaran keagamaan manusia. Dalam tradisi Semitik, beliau akan menjadi bapa kepada tiga agama monoteistik: Yahudi, Kristian dan Islam.

Menurut al-Quran, Ibrahim adalah simbol perubahan manusia dari penyembahan alam – yang dicontohi oleh kisahnya menolak matahari dan bintang sebagai tuhan-tuhan kerana sifatnya yang tidak kekal.

Justeru, kisah pengorbanan itu juga perlu mengambil kira hal ini.

Solat

Titik Tolak Perubahan Amalan Penyembahan Manusia

Bagi aku, penggantian Ismail dengan seekor kambing adalah pengajaran yang sangat penting.

Ia seolah-olah Tuhan mengisyaratkan kepada Ibrahim bahawa zaman ketaatan membuta tuli telah berakhir dan manusia kini perlu menilai perintah Tuhan dengan hati nurani yang baik.

Dalam Islam, kita mempunyai konsep fitrah, yang merupakan asas kepada kepercayaan agama.

Oleh itu, peristiwa Nabi Ibrahim tidak sepatutnya dilihat sebagai pengajaran tentang kepatuhan tetapi tentang kesedaran dalam mengamalkan perintah agama.

Jika Tuhan ingin mengajarkan kepatuhan kepada Ibrahim, sudah pasti Dia akan membiarkan Ibrahim menyelesaikan perintahnya.

Namun dengan menggantikan korban tersebut dengan seekor kambing, Dia mengajarkan Ibrahim bahawa zaman pengorbanan manusia (iaitu ciri sesetengah agama animisme) telah berakhir.

Kambing

Lebih penting lagi, Dia mengajarkan kepada Ibrahim bahawa manusia tidak perlu lagi mengamalkan agama yang ketandusan hati nurani dan pertimbangan yang baik.

Dengan itu, Dia memerintahkan bahawa daging tersebut patut diagihkan kepada golongan miskin dan yang memerlukan.

Agama beralih arah kepada kehidupan bermasyarakat, berdasarkan kasih sayang terhadap jiran sebagai dimensi baru kepada cinta tehadap Tuhan.

Hidup bermasyarakat

Baca juga, Selepas 3 Tahun Kami Ubah Doa dan Akhirnya Kami Menunaikan Haji

Baca juga, 9 Tip Untuk Kekal Beribah Selepas Pulang Dari Makkah

Untuk memperkukuhkan hal ini, al-Qur’an menegaskan:

“Bukanlah daging atau darah mereka yang mencapai Tuhan, namun ketakwaan kamu yang mencapaiNya ….” (Surah Al-Hajj, ayat 37)

Ini, bagi aku, adalah pengajaran yang paling mendalam dari kisah pengorbanan Nabi Ibrahim: bukan tentang kepatuhan tanpa soal, namun penggunaan hati nurani dan akal yang sihat sebagai aspek wajib dalam mengamalkan agama.

Sumber: Projek Dialog

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024