Artikel

Mencari Bahagia: Padanya Ada Bahagia

oleh Muhamad Syarafuddin Sulaiman pada 08 May 2014

Meneruskan tradisi buku Padanya Ada Cinta yang mengetengahkan kisah-kisah cinta yang indah, kemudian Padanya Ada Hikmah bersama Prof. Dr. Muhaya yang menonjolkan kisah-kisah hidup yang nampak sederhana namun menyentuh hati, kini penulis Bahruddin Bekri kembali lagi.

Masih dengan tajuk utama Padanya Ada…, beliau menghidangkan kepada kita naskhah baru berjudul Padanya Ada Bahagia. Duet beliau kali ini tokoh lain pula. Beliau adalah pakar motivasi dan perunding keluarga yang cukup terkenal dan sering dirujuk, Dr. Robiah K. Hamzah.

Apa yang sama dan apa yang berbeza?

Yang sama adalah bahasa dan ceritanya. Masih indah. Masih menyentuh hati. Masih sebuah karya seni, jadinya panjang pendek bukanlah ukuran terpenting. Paling penting adalah rasa yang timbul.

Yang berbeza adalah pengisian tambahan. Sekiranya dahulu siri Padanya Ada… ini mengetengahkan cerpen semuanya, kali ini ada tip-tip dan ada perincian motivasi yang disusun secara ringkas. Tidak panjang apatah lagi bernota kaki, tetapi pengisiannya datang terus daripada Dr. Robiah sendiri. Sedikit sebanyak membantu mengikat makna yang cuba disampaikan dalam cerita-cerita sebelumnya.

Kemudian, ada kata-kata hikmah yang dikongsikan buat kita semua, pembaca. Antara yang menangkap mata adalah “Usah bimbang jika saya katakan, ‘Saya benci ibu dan bapa.’ Sebenarnya saya bukan membenci ibu dan bapa, tetapi saya membenci kuasa yang ada pada mereka, iaitu kuasa yang menghalang cita-cita saya.”

Padanya Ada Bahagia adalah sebuah buku untuk semua yang mencari bahagia. Tanpa mengira sama ada dia adalah si anak, mahupun si dewasa.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024