Artikel

Menelusuri Kitab Agung: Adab Berdamping Dengan Al-Quran

oleh Adzkia Amanah Ugi Suharto pada 21 May 2015

Menyelak halaman pada kitab ini seakan mengaliri  tekak yang kering dengan air dingin.

Dahaga hilang dari perasaan, dan badan terasa bertenaga semula.

Begitulah bagaimana padunya At-Tibyan fi Adabi Hamalat Al-Quran atau dalam bahasa Melayunya, Adab Berdamping Dengan Al-Quran menyentuh jiwa para pembacanya.

Penulis kitab terkenal ini, Imam An-Nawawi bijak memilih tajuk bagi menghiasi dada kitab.

Terlihat lembut dari luar, namun isi kandungannya sangat informatif dan tidak melampau jika disifatkan lengkap.

Pelbagai aspek berkaitan Al-Quran berjaya disentuh penulis dari sekecil-kecil persoalan ke sebesar-besar perkara.

Dengan izin Allah, pembaca akan bertemu pelbagai sub topik penting bermula dari kebaikan-kebaikan yang tersedia buat ahli Al-Quran sehinggalah kepada ayat dan surah yang mendapat galakan untuk dibaca di waktu-waktu tertentu.

Tambah kagum dengan penulis adalah kerana kesemua isi kandungan yang dimuatkan mempunyai sekurang-kurangnya satu rujukan kukuh, samada dari Al-Quran mahupun hadith nabi.

Semoga Allah merahmati Imam An-Nawawi yang dengan karyanya kita mampu mempelajari adab mendampingi kitab agung umat Islam sekaligus melayakkan kita untuk menempatkan diri dalam kalangan orang yang dikasihi Allah.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024